Menyangkal tuduhan ‘PAS dan PN iktiraf UEC’

[ULANG SIAR]

- Advertisement -

TUNTUTAN untuk Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf kembali menggegarkan negara dicelah-celah kekalutan politik yang belum reda pasca-PRU15. Namun, di sebalik gesaan yang wujud, PAS turut cuba diseret pihak tertentu untuk menjustifikasikan desakan tersebut.

- Advertisement -

Malah, ada kalangan yang tidak mengetahui latar belakang dan huraian sebenar, terus membingkai PAS kononnya pernah memperjuangkan untuk UEC diiktiraf. Sedangkan mereka hanya merujuk berdasarkan beberapa rekod laporan separuh masak yang mendakwa sedemikian.

Maka, apabila kedengaran bantahan terhadap UEC daripada suara-suara dari sebelah PAS, ia segera disanggah keras dengan label hipokrit dan munafik! Hakikat sebenar-benarnya, PAS memang tidak pernah memberikan persetujuan untuk UEC diberikan pengiktirafan secara langsung.

Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor yang pernah menyentuh isu ini lebih 20 tahun lalu antara dijadikan modal sandaran mereka mengukuhkan hujahan. Sedangkan laporan tersebut tidak menyeluruh daripada ucapan dan maksud asal bekas Presiden PAS itu.

Konteks asal dan sebenar daripada Ustaz Fadzil itu bukanlah suatu tuntutan pengiktirafan yang khusus dan tunggal kepada UEC. Tetapi peringatan kepada kerajaan supaya berlaku adil terhadap institusi pendidikan bukan aliran kerajaan yang wujud di negara ini.

Pihak yang mahu UEC ini diiktiraf juga jelas terdesak apabila mendakwa persetujuan sama pernah diberikan oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Mereka merujuk Buku Jingga yang juga ditandatangani Lim Kit Siang dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di zaman PAS bersama Pakatan Rakyat ketika itu.

Sebetulnya terma berkaitan UEC di dalam buku itu juga bukan memberi pengiktirafan secara langsung, tetapi mestilah melalui satu kelulusan pihak berautoriti yang berkaitan. Tentulah pihak berkenaan pada masa itu ialah Lembaga Akreditasi Negara (LAN) yang kini Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Juga Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta lain-lain agensi yang tentunya UEC perlu mematuhi dan memenuhi garis syarat atau piawaian ditetapkan bagi diiktiraf. Malangnya, UEC enggan untuk seiring bersama dengan falsafah dan dasar pendidikan serta perpaduan negara.

Wajah sebenar UEC

Secara umum, UEC didakwa bertujuan mengekalkan jati diri, budaya dan bahasa ibunda kaum Tiong Hua terutamanya. Tetapi kajian banyak pihak menunjukkan sebaliknya. UEC lebih membibit kepada doktrin etnosentrisme, cauvinisme dan ultra kiasu. Malah, ada menyatakan komunisme!

Silibus berasal dari Taiwan itu lebih menyebabkan pelajarnya berkiblatkan ke tanah besar China. Hingga menumpahkan assabiyah, kasih sayang dan cinta, serta taat setia kepada negara asal nenek moyang mereka itu. Sedangkan mereka lahir dan merupakan warganegara Malaysia.

Sebab itu UEC bukan hanya bertentangan akta dan kurikulum pendidikan kebangsaan, tetapi turut meninggikan tembok pemisah dan menjurangkan lagi hubungan antara kaum. Juga tidak keterlaluan untuk dikatakan ia berpotensi menggugat dan mengancam keharmonian dan ketenteraman awam serta keselamatan negara.

Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-undang; Kesopanan dan Kesusilaan, merupakan ideologi kebangsaan Malaysia. Tetapi Rukun Negara ini amat mustahil tercapai dengan pendidikan UEC.

Persekutuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang mengendalikan UEC lebih patut dituding jari. Kerana merekalah sebenarnya mengembangkan prasangka perkauman dan ekstrem menerusi desakan untuk UEC diiktiraf, bukannya pihak lain.

Intensif pihak lain sama sekali tidak menolak sepenuhnya UEC, tetapi mahu ia diubah suai dan diselaraskan dalam kerangka Malaysia. Kerana realiti rakyat negara ini adalah terdiri daripada masyarakat majmuk pelbagai agama, kaum, bahasa dan adat resam yang hidup secara bersama.

Kecuali Dong Zong mempunyai cita-cita ‘penaklukan atau penjajahan’ ke atas negara ini. Lantaran itulah tuntutan Dong Zong untuk UEC pernah ditempelak oleh tokoh-tokoh Cina sendiri antaranya mendiang Tan Sri Khoo Kay Kim dan Prof Dato’ Dr Teo Kok Seong.

Mereka menyifatkan tuntutan itu sebagai rakus dan menzalimi pihak lain yang mengikuti sistem pendidikan secara tertib, sedangkan Dong Zong sendiri membawa UEC keluar dari sistem. Terbaharu, Dong Zong menuntut pula diberi peruntukan kewangan kekal.

Politik dan propaganda

Polemik berlaku dari isu UEC ini turut dimarakkan oleh campur tangan politik yang lebih bermotif meraih kepentingan sokongan. Selain Pakatan Harapan (PH) daripada DAP, PKR, PAN dan MUDA yang sedia dimaklumi, ia pernah dimasukkan dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) zaman Dato’ Seri Najib Razak.

Mereka dilihat tunduk akur dengan desakan Dong Zong untuk UEC diiktiraf, semata-mata menagih undi kaum Cina. Masalahnya, pengiktirafan UEC akan melayakkan pengambilan kuota kemasukan universiti awam, permohonan biasiswa dan juga pekerjaan di perkhidmatan awam.

Keadaan tersebut tentulah satu kecelaruan yang boleh menghuru-harakan sistem kerana dwi-standard digunapakai. Bahkan untuk jangka masa panjang, ia akan menyebabkan pelbagai konflik integriti seperti berat sebelah, ketidakadilan hinggalah penindasan.

Tetapi antara yang kena tuduh juga adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Dr Mohd Radzi Md Jidin. Walhal kelulusan sebahagian yang berlaku di bawah pentadbiran mereka adalah ‘warisan’ dari zaman sebelumnya. Propaganda diletus itu malah turut mengaitkan Perikatan Nasional (PN).

Kenyataan-kenyataan mereka telah diputar-belit apabila dipetik sebahagian secara terpilih dan dalam konteks yang salah lagi mengelirukan. Semua itu muslihat tipu daya mahu menunjukkan mereka-mereka yang tersebut sebagai telah berbohong dan berubah pendirian. 

Sedangkan UEC ketika itu hanya diterima untuk kemasukan ke Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi program Bahasa Cina sahaja. Itupun dengan syarat sangat ketat di mana permohonan juga mesti disertakan bersama kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lulus Bahasa Melayu.

Sementara PAS pula terus menerus dibidas dan diasak kononnya membisu serta didesak menyatakan pendirian walaupun sebenarnya tidak pernah berubah. Seperti di zaman Almarhum Ustaz Fadzil Noor, hingga kini ketegasan PAS mengenai UEC masih lagi kekal sama.

Seminggu di bawah Perdana Menteri Ke-10, Malaysia dipanaskan kembali dengan tuntutan melampau Dong Zong untuk UEC. Termasuk dimajukan lagi oleh pihak PH di mana mahu ia diberikan pengiktirafan secara politik atau ‘pintu belakang’, tetapi yang dimangsakan adalah PAS dan PN.

IZWAN ABDUL HALIM
[email protected]HARAKAHDAILY 2/12/2022

- Advertisement -