
TANAH MERAH: Parti Wawasan Negara yang baharu diumumkan pada Sabtu akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penyertaan parti berkenaan dalam kedua-dua PRN itu telah dipersetujui untuk menggunakan lambang gabungan tersebut.
“Parti Wawasan Negara akan bertanding di kedua-dua PRN iaitu di Johor dan Negeri Sembilan.
“Mereka akan pakai logo PN,” katanya pada sidang media selepas berlangsung Majlis Konvensyen RESET Malaysia yang dirasmikan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di sini, hari ini.
Turut hadir pengasas Gerakan RESET Malaysia, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin.
Mengulas permohonan mana-mana parti untuk menyertai PN termasuk Parti Wawasan Negara, beliau berkata perkara itu perlu melalui proses yang diperuntukkan dalam Perlembagaan gabungan berkenaan.
Menurutnya, setiap permohonan akan dibawa untuk dibincangkan dalam mesyuarat dan memerlukan persetujuan majoriti parti-parti komponen PN.
“Prosesnya mereka membuat permohonan dan kita akan bawa ke dalam mesyuarat.
“Mengikut Perlembagaan, ia memerlukan persetujuan majoriti parti dalam PN,” katanya.
Bagi PRN Johor, hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai ini dan hari pengundian pada 11 Julai.
Sementara itu, bagi PRN Negeri Sembilan, penamaan calon dijadualkan pada 18 Julai ini, diikuti pengundian awal pada 28 Julai dan hari mengundi pada 1 Ogos depan.
Penyertaan Parti Wawasan Negara dilihat mampu memperkukuhkan lagi kedudukan PN menjelang dua pilihan raya negeri berkenaan. – HARAKAHDAILY 13/6/2026




















