Hamzah umum parti Wawasan Negara, nama dicadang Tuan Guru

- Advertisement -

TANAH MERAH: Pengasas RESET Malaysia, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin hari ini mengumumkan penubuhan sebuah parti baharu yang dinamakan Parti Wawasan Negara. 

- Advertisement -

Menurutnya, nama parti itu dicadangkan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang baru-baru ini dan dijangka akan diadakan mesyuarat agong pertamanya tidak lama lagi. 

Beliau berkata, penubuhan parti tersebut bertujuan membawa agenda membina semula negara ke arah yang lebih baik dengan mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama memperjuangkan masa depan negara yang lebih berintegriti, dihormati dan sejahtera.

Menurutnya, perjuangan itu bukan untuk satu kaum atau generasi tertentu, sebaliknya diwariskan kepada semua bangsa dan generasi akan datang.

Katanya, keadaan semasa negara yang disifatkan dipimpin oleh pasukan yang bercelaru serta gagal memberi perhatian kepada keperluan rakyat menuntut kepada satu perjuangan baharu yang lebih tersusun dan berteraskan kepentingan rakyat.

“Jangan takut kepada PAS. Marilah kita bergerak bersama PAS demi membina masa depan negara yang lebih baik.

“Kita tidak mahu lagi politik yang hanya menjanjikan bulan dan bintang ketika belum menjadi kerajaan, namun apabila berkuasa perjuangan untuk rakyat semakin terpinggir.

“Parti GERAKAN pun datang bersama kita, jadi tidak perlu takut,” katanya ketika berucap pada Konvensyen RESET Malaysia di Taman Harmoni, di sini, hari ini. 

Beliau berkata, agenda ‘RESET’ yang diperkenalkan akan diperluaskan ke seluruh negara bagi memastikan kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan.

Menurutnya, perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum termasuk Melayu, Bumiputera, Cina dan India amat penting untuk menjamin kestabilan negara pada masa depan.

Katanya, pentadbiran berasaskan nilai moral dan agama mampu melahirkan sebuah kerajaan yang lebih adil serta berintegriti.

Hamzah berkata, terdapat tiga tonggak utama yang menjadi asas perjuangan Parti Wawasan Negara.

Menurut beliau, antaranya membina kesepakatan bersama bagi memastikan kekayaan negara dapat dikongsi secara adil serta mencari sumber kekayaan baharu yang memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, usaha juga akan dilakukan untuk melipatgandakan hasil kekayaan baharu supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati faedah pembangunan negara.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa parti berkenaan akan menekankan tadbir urus berteraskan nilai kemanusiaan, integriti dan keadilan dalam pemerintahan.

“Rakyat perlu mempunyai makanan di atas meja dan mendapat perlindungan perumahan yang sewajarnya.

“Itulah agenda yang akan kita bawa ke peringkat negara menerusi perjuangan bersama,” katanya.

Beliau turut memaklumkan mesyuarat agung pertama Parti Wawasan Negara dijangka masa terdekat, selain usaha memperkukuhkan struktur parti di seluruh negara akan digerakkan secara berperingkat. – HARAKAHDAILY 13/6/2026

- Advertisement -