Kandas di pintu KLIA: Langkah kaki kiri?

Travelog Chad dan Cameroon (Siri 2)

- Advertisement -

PADA 25 Mei 2026, seawal jam 7.30 pagi, aku bersama Kak Ti dan Haji Nazri berkumpul di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu. Hati kami ketika itu penuh harapan. Di hadapan kami terbentang satu lagi misi kemanusiaan Yayasan Amal Malaysia ke bumi Afrika bagi melaksanakan ibadah qurban, akikah dan pelbagai program kebajikan.

- Advertisement -

Pada petangnya kami dijadualkan berlepas dari KLIA ke Algeria sebelum meneruskan perjalanan ke Chad. Dalam kepala masing-masing, kami sudah membayangkan akan menyambut Aidiladha di bumi asing sebelum bergerak menyantuni umat Islam yang menanti kehadiran kami.

Setibanya di KLIA, kami mengambil kesempatan bertemu dengan seorang tokoh yang banyak berjasa dalam kerja-kerja kemanusiaan, Pak Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok. Pertemuan itu terasa lebih bermakna kerana berlaku tidak lama selepas pemergian Allahyarham Hamid Seman, atau lebih mesra kami panggil Pak Mid, mantan Pengerusi Yayasan Amal Cawangan Kelantan.

Dr Daeng kelihatan sebak ketika mengimbau kenangan bersama Allahyarham. Banyak kisah musafir dakwah dan kemanusiaan diceritakan kembali. Dalam setiap kisah itu terselit nasihat agar kami terus istiqamah di jalan perjuangan, menjaga disiplin dan melaksanakan amanah dengan penuh keikhlasan.

Ketika kami berbual, Datuk Haji Apandi turut tiba dan menyertai pertemuan tersebut. Suasana yang pada mulanya santai bertukar menjadi sesi perkongsian pengalaman dan motivasi. Kami mendengar dengan penuh perhatian, tanpa menyedari bahawa beberapa jam kemudian kami bakal diuji dengan satu cabaran yang langsung tidak pernah terlintas dalam fikiran.

Selesai makan dan beramah mesra, kami bergerak ke kaunter Air Algérie untuk mendaftar masuk bagasi. Ketika itulah aku menerima beberapa panggilan daripada Haji Zaman yang meminta kami segera naik ke tingkat atas.

Setibanya di sana, aku melihat ahli-ahli rombongan berkumpul di hujung kaunter khidmat pelanggan. Wajah mereka jelas menunjukkan sesuatu yang tidak kena. Hati aku mula berdebar. Benar seperti yang aku jangkakan, masalah besar sedang menanti kami.

Pihak Air Algérie enggan membenarkan 13 orang anggota misi kami mendaftar masuk dan mengeluarkan ‘boarding pass’. Alasannya mudah tetapi cukup memeningkan, kami tidak memiliki e-visa untuk memasuki Chad.

Kami segera mengemukakan surat pengesahan bahawa rakyat Malaysia tidak lagi memerlukan e-visa untuk memasuki negara tersebut. Kami turut menunjukkan surat jemputan rasmi daripada NGO di Chad dan rekod perjalanan pasukan yang saban tahun melaksanakan qurban dan akikah di sana. Namun semua dokumen itu gagal meyakinkan pihak syarikat penerbangan.

Masa terus berlalu. Perbincangan bertukar menjadi perdebatan yang panjang. Cikgu Nawi cuba mencari jalan tengah dengan mencadangkan agar kami dibenarkan terbang ke Algeria terlebih dahulu sebelum menyelesaikan urusan kemasukan ke Chad. Namun cadangan itu ditolak mentah-mentah.

Salah seorang petugas memberi analogi bahawa perjalanan kapal terbang bukan seperti menaiki bas yang boleh berhenti dan menyambung perjalanan sesuka hati. “Eh bang, kapal terbang ni bukan macam naik bas ye, nak berhenti situ, situ”. Kata-kata itu mengguris hati kami, lebih-lebih lagi apabila ditujukan kepada seorang yang lebih berusia dan dihormati seperti Cikgu Nawi.

Dalam usaha mencari penyelesaian, kami menghubungi Ustaz Salam di Chad. Beliau merupakan rakyat Chad yang pernah lama menetap di Malaysia dan fasih berbahasa Melayu. Kami berharap beliau dapat menjelaskan keadaan sebenar kepada pihak Air Algérie. Malangnya, petugas berkenaan enggan bercakap dengannya. “Eh kenapa saya nak bercakap dengan dia ni? Untuk apa? Untuk saya cakap apa?” soalnya.

Mereka tetap berpegang kepada maklumat dalam sistem syarikat penerbangan yang menyatakan rakyat Malaysia masih memerlukan visa untuk memasuki Chad. Pada ketika itu, rasa kecewa mula bertukar menjadi tekanan yang sukar digambarkan.

Suasana di kaunter semakin tegang. Ahli-ahli rombongan mula berkumpul rapat, masing-masing cuba memahami apa yang sedang berlaku. Ada yang menelefon kenalan di Chad, ada yang menyemak semula dokumen dan ada yang cuba menenangkan keadaan.

Dalam kekalutan itu, anggota misi kami, Dzoel masih memujuk petugas kaunter untuk bercakap dengan Ustaz Salam, “tuan cakap la dulu, dengar la dulu” sedangkan mereka masih enggan bercakap dengan Ustaz Salam. Dzoel kecewa dan berlalu pergi sambil mulutnya mengomel butir baris yang aku pun tak faham.

Lalu, tak semena-mena ketua staf Air Algérie berdiri di hadapan kami lalu bertanya dengan nada yang jelas menunjukkan beliau juga berada dalam keadaan tertekan, “Eh tuan marah ke??”

Pertanyaan itu benar-benar mengundang reaksi daripada aku. “Hey, memang kami marah! Awak jangan biadab! Tadi pun beri contoh pasal naik bas pada Cikgu Nawi, ni pula boleh awak tanya kami marah ke tidak?” balasku dalam nada keras, bercampur loghat KL dan sedikit slang Kelantan.

Cikgu Nawi dan Datuk Apandi segera merapat dan memelukku bawa ke belakang menjauhi kaunter. Kata Cikgu Nawi, “Ana bimbe syeikh, takut enta buwi sedas ko budak tu, enta dah la besar”. Bagi kami, isu yang berlaku bukan perkara kecil. Kami sudah berusaha menjelaskan keadaan dengan baik sejak awal, namun seolah-olah segala dokumen dan penerangan yang diberikan langsung tidak diambil kira.

Kami telah menerangkan bahawa kami bukan sedang merancang percutian atau lawatan santai. Kami membawa hasrat besar rakyat Malaysia. Di belakang kami ada peserta qurban, penyumbang wakaf al-Quran, penderma dana anak yatim dan fakir miskin yang mengharapkan bantuan mereka sampai kepada saudara-saudara Islam di Afrika.

Ratusan ribu ringgit telah dibelanjakan untuk pembelian tiket dan persiapan keseluruhan misi. Maka sudah tentu kami berasa kecewa apabila dihalang pada saat-saat akhir tanpa penyelesaian yang jelas, tanpa mereka ‘attend’ kepada masalah pelanggan. Tidak bolehkah kalian santuni kami dengan baik sepadan dengan tiket kami yang berharga ratusan ribu itu?

Namun di sebalik ketegangan itu, sesuatu yang tidak dijangka berlaku. Setelah hampir setengah jam berlalu, ketua petugas Air Algérie mula bercakap dengan lebih tenang dan profesional. Nadanya berubah. Beliau menjelaskan bahawa sebenarnya rakyat Malaysia memang tidak lagi memerlukan e-visa untuk memasuki Chad.

Masalah sebenar berpunca daripada maklumat tersebut yang masih belum dikemas kini dalam sistem syarikat penerbangan antarabangsa. Beliau menunjukkan usaha yang telah dilakukan termasuk menghubungi penyelia mereka di Algeria dan mendapatkan pandangan daripada pihak lain, namun semuanya menemui jalan buntu kerana faktor prosedur dan risiko yang perlu ditanggung.

Penjelasan itu sedikit sebanyak membuka ruang untuk kami melihat situasi daripada sudut yang berbeza. Walaupun kami tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat, kami cuba fahami bahawa petugas di lapangan juga terikat dengan arahan dan sistem yang mereka gunakan.

Jika mereka tersilap membuat keputusan, mereka sendiri mungkin berdepan tindakan daripada pihak syarikat. Dalam erti kata lain, mereka juga menjadi mangsa kepada kelemahan maklumat yang tidak dikemas kini.

Mereka sedang tersepit antara membantu pelanggan dan mematuhi peraturan syarikat. Kami saling meminta maaf atas ketegangan yang berlaku. Ada yang berjabat tangan, ada yang berpelukan. Aku sendiri peluk ketua staf itu dan dia balas dengan pelukan erat serta mohon maaf berkali kali.

Tiada lagi rasa marah. Yang tinggal hanyalah rasa hampa kerana misi yang dirancang begitu lama terpaksa dihentikan sementara. Petang itu, 13 orang anggota misi pulang semula tanpa menaiki pesawat. Tiket yang dibeli dengan kos yang besar hangus begitu sahaja.

Dalam perjalanan pulang, suasana dalam kenderaan agak sunyi. Masing-masing tenggelam dalam fikiran sendiri. Ada yang memikirkan nasib program yang telah dirancang berbulan-bulan, ada yang memikirkan harapan para peserta qurban yang menunggu khabar dari kami.

Namun di sebalik kekecewaan itu, kami sepakat bahawa gerak kerja ini tidak boleh dibiarkan terhenti begitu sahaja. Selagi ada ruang dan peluang, kami akan terus mencari jalan untuk memastikan bantuan rakyat Malaysia sampai kepada mereka yang memerlukan di bumi Chad dan Cameroon.

Namun dalam perjalanan pulang itu juga, aku juga terfikir satu perkara. Kadangkala cabaran terbesar dalam sebuah misi kemanusiaan bukanlah kemiskinan yang menanti di hujung destinasi, bukan juga panas terik Afrika atau perjalanan beratus kilometer merentasi padang pasir. Sebaliknya, cabaran itu datang lebih awal dalam bentuk ujian kesabaran, kebijaksanaan dan ketabahan hati.

Hari itu kami tewas kepada keadaan. Tiket penerbangan hangus. Perancangan berbulan-bulan tergendala. Impian untuk menjejakkan kaki ke bumi Chad beberapa jam kemudian berkecai di hadapan kaunter daftar masuk sebuah lapangan terbang. Jauh di sudut hati, aku yakin tiada seorang pun antara kami yang bersedia untuk mengalah.

Masih ada ribuan kilogram daging qurban yang perlu disampaikan. Masih ada naskhah al-Quran yang menunggu untuk disampaikan. Masih ada anak-anak yatim dan keluarga fakir miskin di Afrika yang sedang menanti bantuan daripada rakyat Malaysia. Kerja itu terlalu besar untuk ditinggalkan begitu sahaja.

Soalnya, mampukah kami mencari jalan untuk meneruskan misi ini dalam masa yang semakin suntuk? Atau adakah perjalanan kami ke Chad dan Cameroon akan berakhir sebelum ia benar-benar bermula?

Jawapannya hanya kami ketahui beberapa jam kemudian…

Bersambung….

NAZMAN CHE IBERAHIM
Yayasan Amal Malaysia – HARAKAHDAILY 5/6/2026

- Advertisement -