Lebih setengah juta Ringgit beli tanah guna duit poket sendiri

- Advertisement -

BENTONG: Impian tertunda lebih dua dekad akhirnya menjadi kenyataan apabila PAS Kawasan Bentong berjaya membeli sebidang tanah bernilai lebih setengah juta Ringgit terletak berhampiran laluan utama Lebuhraya Central Spine Road (CSR).

Tambah mengharukan, keseluruhan pembayaran tanah tersebut berjaya diselesaikan dalam tempoh hanya dua tahun secara beransur-ansur tanpa sebarang pinjaman bank, sebaliknya hasil infak dan sumbangan daripada duit poket ahli-ahli PAS sendiri.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Bentong, Khairuddin Abdullah tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata mengenang pengorbanan ahli yang berbesar hati menginfakkan harta demi merealisasikan cita-cita perjuangan.

Beliau berkata, kejayaan melunaskan pembelian tanah tersebut merupakan nikmat yang tidak pernah disangka-sangka dan hanya berlaku dengan izin Allah SWT serta kesetiaan ahli terhadap perjuangan.

“Saya terasa sangat sebak kerana tidak menyangka dalam tempoh dua tahun kita mampu mengumpulkan lebih daripada setengah juta ringgit daripada ahli-ahli kita sendiri.

“Alhamdulillah, Allah mengurniakan kepada kita ahli-ahli yang begitu setia berkorban demi perjuangan, saya benar-benar rasa terharu,” ujarnya diiringi laungan takbir daripada para hadirin.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali Ke-42 PAS Kawasan Bentong yang berlangsung di Dewan Maahad Tahfiz Dar Al-Abrar, di sini Ahad lalu.

Mesyuarat menghimpunkan lebih 100 perwakilan dan pemerhati daripada Cawangan-cawangan PAS aktif di seluruh Bentong telah dirasmikan oleh Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Pahang, Hamdan Abdullah.

Ia turut dihadiri pimpinan PAS Pahang Barat diwakili YDP masing-masing dari Kawasan Lipis, Raub dan Cameron Highlands serta Pengerusi GERAKAN Pahang, Datuk Randy Yap.

Pada 5 Julai lalu, YDP PAS pertama daripada masyarakat Orang Asal itu telah menyerahkan cek bernilai RM147,000 bagi pembayaran Fasa Keempat, sekali gus melengkapkan keseluruhan pembayaran bernilai RM647,552.

Sebanyak sepuluh peratus bayaran pendahuluan telah diserahkan pada Julai 2024, disusuli bayaran Fasa Pertama pada tahun sama iaitu Disember 2024, diikuti Fasa Kedua, Jun 2025 dan Fasa Ketiga pada Disember 2025.

Tanah berkeluasan hampir satu ekar dibeli daripada keluarga bekas Pesuruhjaya PAS Pahang, Almarhum Ustaz Idris Omar pada tahun 2024 itu bakal dibangunkan sebagai Kompleks Fastaqim (KOMFAST).

Ia dirancang menjadi sebuah pusat sehenti yang akan menjadi mercu tanda baharu gerakan dakwah, tarbiah, kebajikan dan khidmat masyarakat PAS Kawasan Bentong.

“Tanah ini mengandung nilai sejarah yang cukup besar pada PAS Bentong kerana cita-cita memiliki dan usaha rintisnya telah dimulai oleh ahli terdahulu lebih 20 tahun lalu.

“Alhamdulillah, berkat kesabaran dan doa tidak putus-putus, impian tertunda itu akhirnya berjaya direalisasikan oleh kepimpinan hari ini.

“Ini sebuah anugerah yang saya tidak sangka dapat saya lihat di depan mata,” ujarnya sebak usai majlis ringkas penyerahan cek fasa terakhir sempena Mesyuarat Agung itu. – HARAKAHDAILY 16/7/2026

- Advertisement -