
ISLAMOFOBIA merujuk kepada perasaan prasangka buruk, jahat, ketakutan, atau kebencian yang tidak rasional terhadap agama Islam dan diterjemahkan kepada diskriminasi, layanan tidak adil atau sentimen perkauman anti-Islam yang menyasarkan individu, parti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang beridentiti Muslim atau apa sahaja yang berkait dengan Islam; termasuk rumah ibadat, pakaian dan makanan. Inilah senjata baharu penjajah dalam dunia hari ini, khususnya di negara-negara yang tidak mengenang budi terhadap jasa tamadun Islam yang telah memajukan mereka dari segi kemudahan hidup di alam dunia.
Berkonsepkan sekularisme yang mengambil ilmu dunia tanpa aqidah, menjadikan mereka tidur di tengah cahaya siang dan berjaga pada malam yang gelap-gelita. Kilatnya kini mula kelihatan di Malaysia melalui suara yang dibawa oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang mendominasi Pakatan Harapan (PH).
Perkataan ‘Gelombang Hijau’ pertama kali diucapkan oleh pemimpin DAP berikutan kemaraan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang telah mendapat kerusi terbanyak di Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan menguasai empat negeri serta menawan sejumlah besar kerusi di beberapa negeri yang lain. Di samping itu, PAS turut mempunyai wakil di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap negeri, kecuali Sarawak.
Berbeza dengan PH, iaitu gabungan DAP dan parti-parti Melayu yang bertujuan politik yang mengelirukan, termasuk yang berjenamakan perkataan Islam seperti Keadilan dan Amanah, serta termasuk sebahagian daripada kalangan Umno yang menumpang dan membonceng bersama di belakangnya. Mereka bergabung bagi menjadi tunggangannya untuk menguasai Kerajaan Pusat dan menawan kawasan-kawasan Melayu Islam.
Islamofobia ialah suatu sangkaan buruk terhadap Islam dan penganutnya. Sekiranya ajaran Islam difahami secara akademik yang bermoral, dengan akal yang sihat serta bebas daripada penyakit fanatik, di samping memahami naratif masyarakat majmuk Malaysia yang didominasi oleh Melayu Islam sebagai penduduk asal di rantau Nusantara, bukannya pendatang yang diimport masuk oleh penjajah, yang sebahagian besarnya menjadi penumpang bahtera DAP yang mempunyai destinasinya sendiri, serta turut ditumpang oleh segelintir orang Melayu Islam yang berperibadi seperti kacang lupakan kulit, maka tanggapan Islamofobia tersebut tidak akan timbul.
Terdapat dalam kalangan DAP yang berniat jahat dengan menyatakan bahawa Melayu juga merupakan pendatang, bukan penduduk asal. Maka, daripada bumi manakah asal Melayu ini? Semua bangsa lain ada negeri asal masing-masing. Mereka tidak menyedari bahawa rumpun penduduk Nusantara di Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu telah mempengaruhi penggunaan nama Melayu sebagai jenama bagi penganut Islam, sehingga perkataan Melayu menjadi seerti dengan perkataan Islam. Justeru, semua yang masuk Islam dikatakan masuk Melayu, manakala orang Melayu yang murtad dianggap bukan lagi Melayu.
Semua rumpun yang menganut Islam di Malaysia dimasukkan dalam istilah Melayu menurut Perlembagaan Persekutuan, termasuk Jawa, Bugis, Banjar, keturunan Arab, India Muslim, Pakistan, Cina dan lain-lain. Adapun mereka yang bukan Islam dikategorikan sebagai bumiputera atau Orang Asal. Orang Asal yang memeluk Islam juga dianggap sebagai Melayu.
DAP yang mendapat tauliah daripada penjajah menjadi imam politik kepada makmumnya yang terdiri daripada pelbagai kumpulan. Mereka menggunakan senjata Islamofobia yang diwariskan oleh penjajah bagi menentang Islam dan memadamkan cahayanya yang telah menembusi tembok pertahanan negara asal penjajahnya.
Namun, apabila senjata tersebut menggerakkan hati dalam kalangan mereka yang sihat akalnya untuk mengenali Islam dan mengkajinya, tiba-tiba senjata yang digunakan itu memakan tuannya sendiri. Apabila Islam dikenali secara ilmu, menyebabkan ramai ilmuwan mereka menerima Islam dan menganutnya, serta mempengaruhi penduduk awam, termasuk banduan dalam penjara yang dikawal.
Kegagalan ideologi ciptaan manusia yang berhaluan kiri telah meruntuhkan negara Kesatuan Soviet (Soviet Union) yang besar, dan kini terserlah pula tanda-tanda keruntuhan blok Barat yang berasaskan kebebasan, sehingga Amerika Syarikat yang menjadi kepalanya yang paling besar telah memilih seorang presiden yang bodoh tetapi dijenamakan sebagai bijaksana. Kemenangan jenama demokrasi sekular yang cacat kerana tidak mempunyai roh, melalui politik wang yang mempertuhankan harta, membeli takhta dengan menipu rakyat.
Sehinggakan, kenyataan presiden yang dipilih itu menggelisahkan masyarakatnya sendiri di Amerika Syarikat dan Eropah, khususnya melalui kenyataan-kenyataannya yang celopar dan menunjukkan permusuhannya terhadap jenama Islam, sama ada terhadap negara-negara mahupun parti-parti Islam di seluruh dunia. Tidak cukup dengan itu, serangan yang melampau juga turut dilancarkan dan telah mengorbankan ramai rakyat awam di Afghanistan, Iraq, Palestin, Iran, Lubnan dan lain-lain.
Kemajuan teknologi Barat yang bermadanikan sekularisme tanpa roh beragama berlaku apabila mereka mencuri tamadun Islam yang bermadanikan hidayah Allah. Mereka mencipta tamadun Barat yang mencapai kemajuan dan kesenangan, namun bernafsukan sifat kebinatangan sehingga mengatasi akal yang sihat, lalu menjadikan manusia lebih bodoh dan lebih ganas daripada binatang.
Di samping itu, mereka turut mencipta undang-undang sendiri yang lebih membela penjahat dan pengganas daripada mangsanya, sehingga ada suara yang mahu membatalkan hukuman mati secara mutlak kerana lebih mementingkan pengganas yang membunuh daripada mangsa yang dizalimi. Menjaga anjing gila dianggap lebih penting daripada manusia yang boleh menjadi mangsanya kerana terlalu menyayangi binatang sehingga melebihi manusia; menjaga keselamatan kera liar pula dianggap lebih penting daripada para peladang dan petani yang miskin; dan meraikan penternak babi lebih daripada manusia yang menjadi jiran tetangga.
Negara yang dikatakan maju menukarkan ubat hasil ciptaan tamadun Islam, daripada bahan memabukkan yang terdapat dalam bius pembedahan dan perubatan, tiba-tiba ditukar menjadi makanan dan minuman yang merosakkan akal. Seterusnya, mereka menjadi rakus bagi mengekalkan kuasa dengan mencipta senjata pemusnah paling melampau, sehingga menjadikan manusia berperang secara lebih ganas daripada binatang buas di rimba.
Mereka juga menggunakan kuasa veto bagi menembusi undang-undang yang menghalang keganasan melampau yang mereka lakukan. Benarlah firman Allah SWT:
وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَـٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ ١٧٩
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahanam) kebanyakannya daripada jin dan manusia; mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah), dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu laksana binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Surah al-A‘raf: 179]
Senjata Islamofobia digunakan oleh DAP setelah gagal menumpang senjata bertopengkan Islam yang menggunakan jenama Islam oleh beberapa kumpulan yang berwajah Islam, seperti Islamisasi yang berkonsepkan sekularisme, iaitu melaksanakan Islam secara terpilih serta menggunakan perkataan Madani secara mutlak yang dianggap sebagai fitrah manusia tanpa melalui pembetulan hidayah yang berpandukan Islam.
Kini, di Malaysia ada yang berpihak kepada DAP dengan menggunakan slogan, “Islam Rahmatan lil ‘Alamin” daripada al-Quran. Mereka sanggup menjadi syaitan bisu terhadap kemungkaran yang nyata, termasuk kemungkaran ekonomi yang membebankan kehidupan rakyat. Kemudian, ditaja kempen Jualan Rahmah, tanpa sebarang tindakan terhadap penyangak yang membocorkan harta negara dengan rasuah dan bermacam-macam salah laku yang terpaksa ditanggung kesannya serta menyusahkan rakyat.
Seringkali kita mendengar suara yang berdegar-degar memerangi rasuah, sedangkan dalam bala tenteranya sendiri terdapat penyumbang rasuah yang paling ramai dan penagih rasuah yang tegar, serta mereka membina kekuatan dan pengaruh daripada perbelanjaan yang ditaja oleh penyumbang rasuah itu juga.
Begitulah sifat parti yang berideologikan sekularisme yang tidak mempunyai roh agama yang memandunya, kerana tiada sempadan halal dan haram.
Apa yang merisaukan kami ialah adanya dalam kalangan orang Melayu yang berimamkan DAP dan menumpang di belakangnya bagi memberi kemenangan untuk menguasai politik negara. Sehingga ada orang Melayu Islam yang bebal menuduh rasis terhadap orang Melayu yang bersuara mempertahankan hak Melayu Islamnya yang dizalimi. Sebaliknya, mereka mendiamkan diri dan menjadi syaitan bisu terhadap DAP yang fanatik dan cauvinis kepada kebangsaan Cinanya.
Islam tetap beristiqamah dalam membezakan fanatik perkauman (‘asabiyyah) dan cinta akan bangsa yang menjadi sifat fitrah manusia, yang dikawal oleh konsep keadilan kepada seluruh manusia dan mengharamkan kezaliman terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira agama, bangsa, kawan dan musuh. Firman Allah SWT:
۞ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ بِٱلۡقِسۡطِ شُهَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمۡ أَوِ ٱلۡوَٰلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَۚ إِن يَكُنۡ غَنِيًّا أَوۡ فَقِيرٗا فَٱللَّهُ أَوۡلَىٰ بِهِمَاۖ فَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلۡهَوَىٰٓ أَن تَعۡدِلُواْۚ وَإِن تَلۡوُۥٓاْ أَوۡ تُعۡرِضُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٗا ١٣٥
“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika dia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih mengetahui kemaslahatannya. Maka, janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang daripada kebenaran. Dan jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Nisa’: 135]
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنََٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ma’idah: 8]
Kemaraan DAP bertopengkan PH memimpin Kerajaan Perpaduan telah memberanikan beberapa tokoh mereka mencabar Perlembagaan Persekutuan, khususnya kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu, Bahasa Kebangsaan, membela murtad dan lain-lain. Hal ini sekali gus membenarkan amaran Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ بِطَانَةٗ مِّن دُونِكُمۡ لَا يَأۡلُونَكُمۡ خَبَالٗا وَدُّواْ مَا عَنِتُّمۡ قَدۡ بَدَتِ ٱلۡبَغۡضَآءُ مِنۡ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَمَا تُخۡفِي صُدُورُهُمۡ أَكۡبَرُۚ قَدۡ بَيَّنَّا لَكُمُ ٱلۡأٓيَٰتِۖ إِن كُنتُمۡ تَعۡقِلُونَ ١١٨ هَـٰٓأَنتُمْ أُوْلَآءِ تُحِبُّونَهُمۡ وَلَا يُحِبُّونَكُمۡ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱلۡكِتَٰبِ كُلِّهِۦ وَإِذَا لَقُوكُمۡ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡاْ عَضُّواْ عَلَيۡكُمُ ٱلۡأَنَامِلَ مِنَ ٱلۡغَيۡظِۚ قُلۡ مُوتُواْ بِغَيۡظِكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمُۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ ١١٩ إِن تَمۡسَسۡكُمۡ حَسَنَةٞ تَسُؤۡهُمۡ وَإِن تُصِبۡكُمۡ سَيِّئَةٞ يَفۡرَحُواْ بِهَاۖ وَإِن تَصۡبِرُواْ وَتَتَّقُواْ لَا يَضُرُّكُمۡ كَيۡدُهُمۡ شَيًۡٔاۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ ١٢٠
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang di luar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-henti (menimbulkan) kemudaratan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian daripada mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya. [118] Beginilah kamu, kamu menyukai mereka, padahal mereka tidak menyukai kamu, dan kamu beriman kepada kitab-kitab semuanya. Apabila mereka menjumpai kamu, mereka berkata, ‘Kami beriman’ dan apabila mereka menyendiri, mereka menggigit hujung jari lantaran marah bercampur benci terhadap kamu. Katakanlah (kepada mereka), ‘Matilah kamu kerana kemarahanmu itu.’ Sesungguhnya, Allah mengetahui segala isi hati. (119) Jika kamu memperolehi kebaikan, nescaya mereka bersedih hati. Tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya. Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu. Sesungguhnya, Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan. (120)” [Surah Ali ‘Imran: 118-120]
Allah tidak mengharamkan umat Islam untuk mengadakan hubungan baik dengan kalangan bukan Islam dalam masyarakat majmuk. Bahkan, Allah menyatakan panduan dalam perkara tersebut melalui firman-Nya:
لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. [8] Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8-9]
Berbagai-bagai cara dilakukan ke arah menawan kawasan Melayu Islam melalui topeng demokrasi, dengan meletakkan calon-calon Melayu dan yang berpakaian Islam, serta mengemukakan cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Pilihan Raya PBT ialah proses pemilihan melalui pilihan raya untuk memilih Ahli Majlis atau Datuk Bandar yang akan mentadbir PBT, seperti Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran. Ia telah dimansuhkan di Malaysia pada tahun 1960-an, menjadikan ahli majlis PBT pada masa kini dilantik oleh kerajaan negeri, bukannya melalui undian rakyat. Hal ini dilakukan bagi merungkai penyusunan masyarakat yang diatur oleh penjajah melalui politik adu domba dalam masyarakat majmuk yang sengaja diaturnya, dengan meletakkan kaum pendatang di bandar-bandar dan kaum Melayu serta bumiputera di luar bandar.
Langkah Kerajaan PH meletakkan DAP dalam kabinet pada kedudukan yang memudahkan pelaksanaan agenda politiknya untuk menakluk tanah air ini, menandakan suatu keadaan yang mencabar kedudukan Melayu Islam di tanah airnya sendiri. Jika dibiarkan, kelak orang Melayu Islam akan menerima nasib seperti kaum Red Indian di benua Amerika yang dipinggirkan dan dihapuskan di tanah air mereka sendiri. Maka, kata-kata slogan dalam hikayat Melayu, “Takkan Melayu hilang di dunia”, sekadar menjadi halwa telinga yang akhirnya larut ditelan zaman.
Firman Allah SWT:
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٞۖ فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمۡ لَا يَسۡتَأۡخِرُونَ سَاعَةٗ وَلَا يَسۡتَقۡدِمُونَ ٣٤
“Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) memajukannya.” [Surah al-A‘raf: 34]
Firman Allah SWT:
لَهُۥ مُعَقِّبَٰتٞ مِّنۢ بَيۡنِ يَدَيۡهِ وَمِنۡ خَلۡفِهِۦ يَحۡفَظُونَهُۥ مِنۡ أَمۡرِ ٱللَّهِۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ سُوٓءٗا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ ١١
“Pada manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya secara bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya, Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tiada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tiada pelindung bagi mereka selain Dia.” [Surah al-Ra‘d: 11]
Kita mengalu-alukan masyarakat Cina Sabah yang menolak DAP dan diikuti oleh masyarakat Cina Johor yang menunjukkan perubahan dengan menolaknya juga.
PAS mengharapkan sebahagian dalam kalangan Umno yang bersekongkol dengan DAP kembali ke pangkal jalan, setelah PAS sedia mengorbankan diri menyokong Umno di Johor supaya gagal ditawan oleh PH DAP, sehingga dikerahkan ahli dan penyokongnya dari seluruh negara, mengorbankan tenaga dan wang ringgit supaya mengundi BN dan mengetepikan salah laku Umno terhadap PAS, walaupun hilang kerusinya di Johor sehingga PAS bersedia menjadi laksana lilin yang membakar diri bagi menerangi perjalanan saudaranya. Laksana pokok buah-buahan yang menggugurkan buahnya yang lazat kepada kanak-kanak nakal yang merejamnya dengan batu dan kayu.
Maka, PAS mengajak kepada perpaduan umat Melayu Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem daripada semua kaum dan agama. Kita mengambil teladan daripada Rasulullah SAW yang melakukan perpaduan bangsa Arab bersama Islam, diikuti perpaduan penganut Islam daripada pelbagai bangsa, serta perpaduan kemanusiaan bersama bukan Islam yang tidak ekstrem.
Ambillah nasihat Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA kepada Abu Musa al-Asy‘ari RA:
الرُّجُوعُ إِلَى الْحَقِّ خَيْرٌ مِنَ التَّمَادِي فِي الْبَاطِلِ.
“Kembali semula kepada kebenaran lebih baik daripada berterusan berada dalam kebatilan.” [Al-Qurtubi, al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, jld. 3, hlm. 70]
Selain itu, Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA juga pernah akur terhadap seorang wanita yang menegur kesalahannya di hadapan khalayak ramai dalam sebuah masjid dengan berkata:
أَصَابَتِ امْرَأَةٌ وَأَخْطَأَ عُمَرُ.
“Perempuan tersebut betul, ‘Umar yang salah.” [Al-Qurtubi, al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, jld. 5, hlm. 99]
Walaupun begitu, Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA tidak pula mengadakan larangan 3R (race [kaum], religion [agama], royalty [institusi diraja]) bagi mengambil tindakan terhadap sesiapa yang mengkritik kesalahannya.
Maka, jangan takut dan risau apabila Melayu Islam memimpin, kerana aqidahnya tetap menjaga masyarakat majmuk yang telah ditunjukkan oleh Allah dalam al-Quran. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا ١
“Wahai manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri (Adam), dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (Hawwa’); dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya, Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” [Surah al-Nisa’: 1]
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [Surah al-Hujurat: 13]
Kewujudan pelbagai bangsa adalah fitrah (sifat tabii) bagi kejadian manusia. Tendang sahaja kalangan Melayu yang terpengaruh dengan teori akal luar tabii yang diimport oleh penjajah pemikiran, yang sedang merosakkan alam ciptaan Allah, termasuk kalangan yang mencipta teori Madani baharu yang sama dengan tamadun silam yang dilaknat Allah. Kini, tamadun Barat pula sedang mengalami keruntuhan.
Oleh yang demikian, marilah berkiblat kepada ketetapan Allah, iaitu kembali kepada wahyu yang diturunkan di Makkah. Jangan ikut imam yang sesat; kiblat solat dan hajinya di Makkah, tetapi kiblat politik dan ekonominya ke arah Washington dan New York.
PAS bersyukur kepada Allah kerana berjaya menyelamatkan Johor yang terus dipimpin Melayu Islam dan atas kegagalan DAP bersama sekutunya, PH daripada menawan Johor. Ucapan tahniah ditujukan kepada Johor, dan PAS tidak memerlukan sebarang kerusi hadiah daripada Johor. Apa yang paling diharapkan oleh PAS ialah perpaduan Melayu Islam yang memimpin negara Malaysia yang tercinta ini bersama bukan Islam yang tidak ekstrem dalam masyarakat majmuk.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 30 Muharram 1448 / 16 Julai 2026
[Bil: 46 / 2026] – HARAKAHDAILY 16/7/2026











