PRN N9: MT PN lulus bahagi kerusi, guna lambang PN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) secara rasmi meluluskan rundingan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta membenarkan penggunaan lambang gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengerusi Perikatan Nasional, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ketetapan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang diadakan pada hari ini, Khamis, 16 Julai 2026.

Menurut beliau, mesyuarat tersebut mengambil ketetapan untuk ‘bersetuju’ meluluskan rundingan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di antara Parti-Parti Anggota Perikatan Nasional, iaitu PAS, WAWASAN, GERAKAN, dan MIPP.

“Selain pembahagian kerusi, jawatankuasa tertinggi gabungan berkenaan turut ‘bersetuju’ membenarkan penggunaan lambang ‘PERIKATAN NASIONAL’ oleh calon-calon PN dalam PRN Negeri Sembilan, seperti mana yang telah dipersetujui,” ujarnya.

Dr Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS turut menjelaskan kekhilafan berhubung kenyataan dikeluarkan oleh Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Beliau menegaskan bahawa segala rundingan awal yang berlaku sememangnya berada di bawah pengetahuan dan kelulusan beliau selaku pucuk pimpinan tertinggi gabungan.

“Segala proses perbincangan dan libat urus dengan mana-mana pihak di peringkat awal telah dijalankan di dalam pengetahuan dan kebenaran daripada saya selaku Pengerusi Perikatan Nasional.

“Ianya telah pun dimuktamadkan dan ‘diluluskan’ oleh Majlis Tertinggi Perikatan Nasional pada mesyuarat hari ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, barisan calon gabungan itu yang dijadualkan diumumkan secara rasmi pada hari ini memikul mandat besar demi kepentingan dan kestabilan negeri berkenaan.

“Bagi tujuan PRN Negeri Sembilan, penyertaan sejumlah calon Perikatan Nasional, yang akan diumumkan hari ini, adalah bagi membela kebajikan rakyat, mengangkat agenda pembangunan negeri serta mempertahankan keharmonian masyarakat majmuk di Negeri Sembilan khususnya, dan Malaysia amnya,” ujar beliau.

Kenyataan media Pengerusi PN ini menyusul selepas BERSATU mengadakan mesyuarat khas malam tadi dan memutuskan untuk bertanding menggunakan logo parti mereka sendiri dalam PRN Negeri Sembilan.

Langkah drastik BERSATU itu diambil berikutan tuntutan awal mereka untuk bertanding di 15 kerusi DUN gagal mencapai kata sepakat dalam jawatankuasa perundingan kerusi gabungan terbabit sebelum ini.

Tindakan BERSATU membelakangkan konsensus awal gabungan malam tadi disifatkan oleh pimpinan PN sebagai keputusan ‘mufaraqah’ secara sukarela daripada pakatan berkenaan. – HARAKAHDAILY 16/7/2026

- Advertisement -

- Advertisement -