
TERKINJA-kinja, berjoget bukan universiti tempatnya. Tetapi kenapa normalisasi budaya hiburan dan berseronok bukan benda normal di universiti?
Kerana asas penubuhan universiti itu sendiri berasal daripada tradisi ilmu umat Islam. Universiti terawal dalam sejarah sebagaimana diiktiraf sendiri oleh UNESCO sebenarnya lahir dari tamadun umat Islam. University al-Qarawiyyin ditubuhkan pada tahun 859 masihi oleh Fatima al-Fihri di Fez, Morocco.
Bermula sebagai madrasah, ia akhirnya berkembang menjadi sebuah institusi pengajian tinggi yang menganugerahkan ‘ijazah’nya sendiri. Bahkan Universiti Al Qarawiyyin jauh mendahului penubuhan universiti terawal di Eropah seperti University of Bologna.
Jika kalian amati, asas penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia adalah begitu ‘Islamik’ sekali.
Tak percaya? Kita tengok contoh UTM, mottonya adalah ‘Kerana Tuhan Untuk Manusia’. Manakala pada logo UTM pula terdapat buku terbuka berwarna emas di bahagian atas yang melambangkan al-Quran, sumber segala ilmu dan panduan kehidupan.
Bulatan emas di bawah pula bermaksud alam ciptaan Tuhan yang diamanahkan kepada manusia untuk dipelihara dan dimanfaatkan. Di dalamnya terdapat bulan sabit, simbol keislaman, manakala kelalang merah pulasan melambangkan sains dan teknologi sebagai asas kemajuan manusia.
Menurut laman rasmi UTM, keseluruhan reka bentuk ini disatukan oleh bulatan bertulis nama dan cogan kata universiti, mencerminkan kesepaduan antara ilmu, keimanan dan kemanusiaan.
Manakala falsafah di sebalik logo asal UKM yang direkabentuk oleh almarhum Prof Ulung Dr Syed Naquib Al Attas juga disemikan dengan elemen ilmu dan agama.
Sebab itu apabila ada pihak pengurusan universiti yang menggunakan hiburan konsert terkinja-kinja untuk minggu orientasi mahasiswa, ia adalah satu simptom penyakit yang kronik dalam tradisi keilmuan di universiti tanah air.
Universiti sebagai gedung ilmu dicemari dengan aktiviti hedonisme yang tidak mencambahkan akal langsung!
Ia mencerminkan, otak yang mengemudi institusi pengajian tinggi tidak sihat, kerana sudah terkena jangkitan kanser ‘neoliberalisme’ dan ‘hedonisme’.
Penyakit ini memberi kesan kepada banyak sektor. Segala urusan harian dipandang dari sudut untung rugi, universiti dan ilmu dikomersialkan demi mengejar keuntungan maksimum. Pelajar dan mahasiswa kini tidak lagi dipandang sebagai penuntut ilmu, tapi dipandang sebagai pelanggan.
Kebolehpasaran mahasiswa menjadi kayu ukur paling utama dan paling penting, dan bukan lagi kemenjadian mahasiswa sebagai anggota masyarakat dan intelektual yang bermanfaat untuk masyarakat.
Itulah penyakit yang kini melanda universiti dan warganya. Ia menjalar daripada bapak-bapak yang mengurus universiti sehinggalah kepada ibu-ibu mahasiswa dan juga mahasiswa itu sendiri. Ramai yang merasakan ini adalah normal.
Jadi? Salahkah kalau dibiarkan? Tiada masalah kalau mahu dibiarkan saja penyakit ini. Tapi tunggu sajalah kehancuran masyarakat.
Apa yang kita gagal lihat, peradaban Barat yang disanjung tinggi itu, mulai mereput dari dalam. Mereka dihimpit krisis sosial seperti runtuhnya institusi kekeluargaan, politik mereka juga dirundung ketidakstabilan (UK), ekonomi mereka mulai lembap (Jerman, Perancis dan UK).
Maka apakah kita ingin mengulangi silap kita pasca penubuhan negara, yang banyak meniru dan mencontohi Barat?
Saya secara peribadi merasakan perlunya rawatan bermula di peringkat asas, iaitu unit asas yang mendirikan satu-satu universiti itu sendiri.
Bukan batu dan dinding yang menjadikan sebuah kampus atau universiti tetapi mahasiswa dan penuntut ilmu itu sendiri.
Jika baik mahasiswa yang lahir dari kampus-kampus dalam negara, nescaya cabaran yang melanda negara seperti krisis rasuah, isu rasisme dan ketidakseimbangan ekonomi akan dapat diuruskan dengan lebih baik.
Oleh sebab itu, satu gelombang kesedaran dan islah pemikiran wajar diwujudkan dalam kalangan mahasiswa Malaysia. Daripada gelombang islah dan pembaharuan ini, akan lahirnya mahasiswa dan penuntut ilmu yang dapat memberi manfaat lebih luas kepada masyarakat dan ummah.
Apakah bentuk kesedaran pemikiran ini? Akan saya sambung pada penulisan seterusnya.
DR UTHMAN CHE AZIZ – HARAKAHDAILY 16/7/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











