BERSATU mungkin hanya mahu membuktikan….

- Advertisement -

ADA DUA pengumuman penting dalam permulaan kempen di Negeri Sembilan malam tadi. Di sebelah BN, mereka mengesahkan mereka hanya bertanding di 25 kerusi sahaja daripada 36 kerusi keseluruhan. Manakala 11 lagi kerusi akan diserahkan kepada ‘kawan’ BN untuk diumumkan.

Dalam satu sidang media lain, BERSATU yang pada awalnya dilihat sebagai salah satu komponen ‘kawan’ BN itu, telah mengsahihkan kedudukannya sebagai bukan ‘kawan’ yang dimaksudkan BN itu apabila mengumumkan mahu bertanding 15 kerusi secara solo dan akan menggunakan lambang mereka sendiri. Pastinya akan berlaku pertindihan kerusi di empat DUN, dengan BN atau ‘kawan’ BN itu.

Dakwa Presiden BERSATU, mereka tidak diajak untuk berunding untuk kes Negeri Sembilan, hanya diputuskan oleh pimpinan tertentu PERIKATAN NASIONAL sahaja. Berbeza dengan cara beliau ketika menjadi Presiden dahulu, membuka pintu ‘mesyuawarah’ kepada semua komponen dalam menentukan jumlah dan kerusi mana untuk bertanding.

BERSATU mungkin mahu membuktikan yang mereka mempunyai ‘wainable candidates’ bagi kerusi-kerusi yang mereka tandingi itu. Apabila mereka yakin menang, sekali gus bermaksud mereka mempunyai jentera yang kuat di DUN-DUN itu, pastinya. Mereka mahu buktikan kepada semua betapa kuatnya jentera yang ada, tidak menumpang jentera parti lain kendatipun mereka tersungkur teruk di bumi Presiden mereka sendiri baru-baru ini.

- Advertisement -

Berkenaan kewangan, sudah mereka buktikan yang mereka mempunyai modal yang cukup. BERSATU juga akan membuktikan yang mereka akan berjaya memperkenalkan logo mereka kepada rakyat Negeri Sembilan kerana mereka belum pernah bertanding atas logo mereka sendiri sebelum ini. BERSATU mahu membuktikan tanpa mereka, PERIKATAN NASIONAL hanyalah satu nama pertubuhan tanpa tulang belakang.

Mungkin juga idea menyatukan ummah bagi BERSATU, mesti disertai sikap tamakkan kerusi dan kedudukan. Tidak perlu menghormati sekutu yang telah terbukti kuat di negeri itu. Jumlah kerusi yang banyak ini mungkin amat penting kerana orang-orang mereka perlu dijaga selepas menang nanti. Jika sedikit kerusi, tentunya sedikit sahaja ganjaran yang akan diperolehi.

Kesan dari tindakan BERSATU ini, jika terjadi kekalahan kepada BN dan ‘kawan’nya itu di DUN-DUN yang tertentu dan membuka peluang kepada PH berkuasa, maka BERSATU akan dibuktikan sebagai perosak kepada rancangan penyatuan Melayu Islam di Negeri Sembilan. Gelaran ini amat berat untuk mereka tanggung. Dua kes makan kawan di Negeri Sembilan dan Perlis pasti akan diungkit kembali oleh rakyat.

Dan jika sebaliknya kekalahan besar terjadi, ia hanya membuktikan yang BERSATU sememangnya lemah, tiada jentera, hanya mengharapkan bantuan PAS dan parti lain untuk menang sebelum ini.

Manakala di sebelah PAS tidak perlu membuktikan apa-apa kerana jenama PAS sudah dipercayai turun temurun oleh rakyat Malaysia yang mahukan penyatuan. Yang bencikan PAS hanya mereka yang takut kepada bayang-bayang sendiri. Mereka yang selalu membaham duit rakyat, memisahkan umat Islam, mengamalkan kehendak sekular, liberal, plural yang bertentangan dengan Islam, itulah ciri-ciri golongan pembenci PAS.

Jelas sekali apabila bergabung, PAS tidak berkhianat. PAS akan membantu kawan yang lemah sehingga terpaksa mengeluarkan tenaga dan perbelanjaan sendiri. PAS tidak meminta jawatan, dibuktikan pada setiap kali diadakan kerjasama politik. Dan walau dituduh dengan berbagai gelaran negatif, apabila susah, mereka mencari PAS. Pimpinan PAS pula tidak pernah ditangkap kerana salah laku atau salah guna kuasa.

Itu bukti kekal yang menjadikan PAS dihormati bukan sahaja kawan, malah lawan dan juga pemerhati ‘non-partisan’ dengan sering menjadikan PAS sebagai contoh parti yang beramanah. Pujian ini bukan baharu, ia sudah diucapkan sejak puluhan tahun lalu. PAS tidak retorik, tidak gila kuasa. Hanya mahukan apa yang terbaik bagi agama, bangsa dan negara. Jelas sekali prinsipnya.

Ketaatan PAS pada kehendak Allah, dengan sering mencuba untuk melaksanakannya melalui berbagai cara dan pihak. PAS dihormati semua. Kalah menang, PAS kekal tegak berdiri. Kali ini PAS mencuba lagi penyatuan di Negeri Sembilan. Semoga ia adalah titik mula Melayu Islam bersatu dan semoga usaha ini akan menjadikan Malaysia diberkati Allah. Amin.

MOHD NASIR ABDULLAH
16 Julai 2026 – HARAKAHDAILY 16/7/2026

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -