Jangan berdalih, lebuh raya tanggungjawab Pusat

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Persekutuan digesa membayar semula RM1.43 bilion dana pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang telah didahulukan oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata, pembayaran semula itu merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan memandangkan pembinaan lebuh raya berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil langkah mendahulukan dana bagi memastikan projek LPT2 dapat diteruskan demi kepentingan rakyat.

“Kalau mengikut adat dan tanggungjawab, Kerajaan Pusat sepatutnya membayar semula kerana negeri telah mendahulukan dana bagi memastikan projek LPT2 dapat diteruskan.

“Jangan berdalih. Lebuh raya ialah tanggungjawab Kerajaan Pusat, maka bayarlah semula,” katanya memetik laporan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Menurut Dr Alias, isu berkenaan bukan semata-mata berkaitan hutang, sebaliknya melibatkan soal tanggungjawab yang perlu ditunaikan.

“Walaupun saya tidak menggunakan istilah hutang, tetapi ini adalah soal tanggungjawab Kerajaan Pusat. Dari sudut prinsip Islam juga, setiap tanggungjawab yang dipersetujui perlu ditunaikan,” katanya.

Alias berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, pembayaran balik sebanyak RM200 juta setahun pernah dilaksanakan, namun hanya dibuat sekali sebelum dihentikan selepas berlaku pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri.

Terdahulu, Kerajaan Persekutuan menolak tuntutan Kerajaan Terengganu untuk mendapatkan semula sebahagian kos pembinaan LPT2.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, sebelum ini Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bersetuju menggunakan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) untuk menampung sebahagian kos pembinaan lebuh raya itu.

Dalam pada itu, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini berulang kali menjelaskan bahawa dana RM1.43 bilion tersebut merupakan sebahagian kos pembinaan LPT2 dahulunya diambil daripada DKKP yang sepatutnya berfungsi sebagai peruntukan khas pembangunan langsung negeri.

Pihak kerajaan negeri menegaskan wujudnya persetujuan serta rekod kertas Kabinet terdahulu yang memperincikan mekanisme bayaran semula jumlah tersebut oleh agensi Persekutuan kepada akaun Terengganu. – HARAKAHDAILY 13/7/2026

- Advertisement -