LPT2: Apa lagi perlu dibuat untuk tuntut hak Terengganu?

'Kamu mesti turun atau diturunkan, biar orang lain pula duduk di Putrajaya'

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Persekutuan menolak tuntutan sebahagian kos pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) disifatkan sebagai bukti hak Terengganu terus dinafikan meskipun pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan negeri.

- Advertisement -

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, segala saluran yang ada telah digunakan bagi membawa tuntutan tersebut kepada perhatian Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan, mengadakan mesyuarat dan perbincangan, menghantar surat rasmi selain membangkitkan perkara itu di Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan media sosial.

“Mohon sudah, mesyuarat sudah, hantar surat sudah, bawa dalam Parlimen sudah, bincang sudah, masuk media sosial sudah, masuk Dewan Undangan Negeri pun sudah, maka apa lagi yang perlu dibuat?

“Bila kamu tak nak bagi juga hak Terengganu maka satu-satu pilihan yang ada ialah kamu mesti turun atau diturunkan. Biar orang lain pula duduk di Putrajaya,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Menurut beliau, kegagalan mengembalikan hak yang dituntut oleh negeri itu menimbulkan persoalan terhadap komitmen Kerajaan Persekutuan dalam berlaku adil kepada semua negeri.

“Pemimpin perlu berlaku adil. Makna keadilan ialah mengembalikan hak kepada yang berhak,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi.

Terdahulu, Kerajaan Persekutuan menolak tuntutan Kerajaan Terengganu untuk mendapatkan semula sebahagian kos pembinaan LPT2.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, sebelum ini Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bersetuju menggunakan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) untuk menampung sebahagian kos pembinaan lebuh raya itu.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini berulang kali menjelaskan bahawa dana RM1.43 bilion tersebut merupakan sebahagian kos pembinaan LPT2 dahulunya diambil daripada DKKP yang sepatutnya berfungsi sebagai peruntukan khas pembangunan langsung negeri.

Pihak kerajaan negeri menegaskan wujudnya persetujuan serta rekod kertas Kabinet terdahulu yang memperincikan mekanisme bayaran semula jumlah tersebut oleh agensi Persekutuan kepada akaun Terengganu. – HARAKAHDAILY 13/7/2026

- Advertisement -