Puji MB Kedah bantu pendidikan tanpa mengira kaum

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Wanita GERAKAN, Ng Mey Yuan memuji keputusan Kerajaan Negeri Kedah memberikan pengurangan tunggakan cukai tanah sebanyak 90 peratus kepada sekolah persendirian Cina yang tidak berkemampuan di negeri itu.

Menyokong penuh keputusan itu, beliau menegaskan, perkara diumumkan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor itu sewajarnya dilihat dalam konteks dasar sokongan terhadap institusi pendidikan secara menyeluruh.

Di mana katanya, penentuan kadar dan pengurangan tunggakan cukai tanah perlu berasaskan status dan sifat operasi sekolah, khususnya sama ada berorientasikan keuntungan atau tidak, bukannya berdasarkan label, kaum atau agama.

Menurut beliau, prinsip yang adil, telus dan konsisten itu harus terpakai kepada semua jenis institusi seperti sekolah persendirian Cina, sekolah agama, sekolah mubaligh, institusi pendidikan seperti Tzu Chi mahupun sekolah antarabangsa.

“Isu cukai tanah tidak sepatutnya dilihat semata-mata berdasarkan identiti atau label sesebuah sekolah. Perkara yang lebih penting ialah bagaimana institusi tersebut beroperasi, siapa yang mendapat manfaat daripada perkhidmatan pendidikan itu dan sama ada ia benar-benar berorientasikan keuntungan atau sebaliknya.

“Kerajaan wajar mempertimbangkan cukai tanah pada kadar yang sangat rendah atau sekadar kadar nominal. Bantuan seperti ini bukanlah satu keistimewaan kepada mana-mana kaum atau agama, tetapi merupakan satu bentuk sokongan kepada sektor pendidikan,” katanya.

Mey Yuan menjelaskan, pendidikan merupakan pelaburan untuk masa depan dan bukannya perniagaan semata-mata, namun pendekatan bantuan berkenaan tidak semestinya sesuai untuk sekolah yang beroperasi sebagai entiti komersial.

“Sebahagian besar sekolah antarabangsa (international school), misalnya, mengenakan yuran yang tinggi dan beroperasi berdasarkan model perniagaan.

“Sekiranya sesebuah institusi pendidikan benar-benar berorientasikan keuntungan, maka adalah munasabah sekiranya cukai tanah dikenakan berdasarkan kadar pasaran atau pendekatan komersial yang sewajarnya.

“Justeru, dasar kerajaan perlu dibuat berdasarkan model operasi, status keuntungan dan fungsi sesebuah institusi pendidikan, bukannya berdasarkan nama, kaum atau agama.

“Prinsipnya mudah, institusi pendidikan bukan berorientasikan keuntungan perlu dibantu. Manakala, institusi pendidikan berorientasikan keuntungan wajar dikenakan kadar yang bersesuaian dengan nilai pasaran,” jelas beliau.

Mey Yuan menambah bahawa pendekatan sebegini bukan sahaja lebih adil dan konsisten, bahkan membolehkan kerajaan terus menyokong sektor pendidikan tanpa mewujudkan persepsi bahawa hanya kelompok atau jenis sekolah tertentu yang mendapat keistimewaan.

“Sokongan untuk institusi pendidikan diberi, tetapi dasar perlulah adil, telus dan konsisten untuk semua,” tegasnya yang juga Naib Pengerusi GERAKAN Bahagian Pagoh.

Muhammad Sanusi mengumumkan keputusan Kerajaan Negeri Kedah yang memberikan kelulusan pemotongan atau diskaun khas cukai tanah sebanyak 90 peratus kepada tiga buah sekolah persendirian Cina di negeri tersebut, kelmarin.

Langkah prihatin berkenaan diambil selepas sekolah-sekolah terbabit dilaporkan menghadapi kesukaran kewangan untuk melangsaikan jumlah keseluruhan tunggakan cukai tanah yang mencecah sehingga RM444,000.

Melalui inisiatif insentif dan diskaun 90 peratus oleh kerajaan negeri itu, jumlah tunggakan terkumpul yang perlu dijelaskan oleh pihak pengurusan sekolah terbabit telah dikurangkan secara drastik kepada RM44,000 sahaja. – HARAKAHDAILY 31/7/2026

- Advertisement -
- Advertisement -