‘Bila aku suruh hang balik?’ Sanusi bidas tuduhan

Tegaskan kenyataan Tanah Melayu tidak bermaksud mengusir mana-mana kaum

- Advertisement -

SEREMBAN: Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan kenyataannya berkaitan Tanah Melayu tidak pernah bermaksud mengarahkan mana-mana kaum untuk kembali ke negara asal.

“Tapi oleh kerana mungkin tak faham bahasa, saya tak pandai cakap Cina. Walaupun tok wan saya Cina. Dia orang persoal pula.

“‘Dah tok wan ‘hang’ nak balik, ‘hang’ nak balik mana?’ Bila aku suruh ‘hang’ balik? Tak ada perkataan balik pun,” jelasnya dalam Ceramah Mega Birukan Seremban di Dewan Perdana KRS, di sini malam tadi.

Menurut beliau, gambaran tersebut sama seperti menyebut penduduk sesuatu negara berdasarkan tempat mereka berada.

“Saya gambarkan negara-negara yang saya sebut itu adalah negara itu dan kaitan penduduknya. Saya takkan nak kena ‘habaq’ (beritahu) sampai Scottish, duduk di Scotland.

“Swedish duduk di Sweden, Irish duduk di Ireland. Takkan nak kena ‘habaq’ sampai macam tu? Kita ‘habaq’ yang dekat inilah supaya orang boleh nampak.

“Thailand, China, India, Kemboja, Vietnam. Itulah gambaran tanah ataupun negara dengan orang yang mendiami tanah tu,” terangnya.

Muhammad Sanusi menerangkan, maksud yang ingin disampaikan adalah tanah berkenaan mempunyai sejarah sebagai Tanah Melayu.

“Saya nak ‘habaq’ kata tanah ini didiami oleh orang Melayu, namanya Tanah Melayu. ‘Simple’ (mudah) itu pun tak faham. ‘Sesimple’ itu, macam mana tuan-tuan nak serah negeri dekat ‘depa’ (PH)? Tak boleh.

“Orang yang tak boleh faham semudah persoalan semudah itu. Dia tak faham dan dia usaha untuk belit, memutar belitkan, menokok tambah. Supaya timbul kemarahan, timbul kebencian, timbul salah sangka.

“Supaya kita bergaduh. Orang macam ni tak boleh jadi kerajaan. Kena tolak ‘depa’ ni,” tegasnya yang juga Menteri Besar Kedah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.

Muhammad Sanusi turut menegaskan, pihak yang mahu memerintah negeri dan negara perlu memahami akar sejarah serta latar belakang tanah berkenaan.

“Orang yang nak memerintah negeri negara ini dia kena terdiri daripada orang-orang yang faham akar tanah ini apa, dia tak boleh main duk _‘tang’_ tengah. Dia kena faham latar belakang.

“Sama macam kita masuk duduk di kampung itulah kena kenallah tok imam siapa, tok penghulu siapa, JKK (Jawatan Kemajuan Kampung) siapa, baru boleh duduk dalam itu. Ini mai duduk ‘tang’ tengah, nak lupakan semua sejarah, mana boleh,” tegasnya.

Pengalaman berharga

Sementara itu, beliau berpandangan pertemuan sepanjang PRN Negeri Sembilan memberi pengalaman berharga apabila ramai rakyat mula kembali mempelajari sejarah.

“Saya saksikan dalam tempoh beberapa hari ini ramai orang telah mula belajar sejarah. Sejarah ini orang belajar untuk mengetahui apa yang terjadi pada masa lalu.

“Memahami apa yang terjadi pada masa ini dan merancang untuk masa depan. Kalau sejarah itu baik kita rancang untuk diteruskan. Kalau sejarah itu pilu, sedih, kita rancang supaya ia tidak berulang lagi. Itulah sejarah,” ujarnya.

Muhammad Sanusi turut menegaskan, kebaikan nenek moyang yang menerima semua pihak untuk menjadi rakyat Tanah Melayu perlu disebut agar tidak dilupakan.

“Betapa hebatnya nenek moyang kita sewaktu menerima semua orang yang berada di sini untuk menjadi rakyat Tanah Melayu. Baiknya kita. Maka kena disebut. Supaya tak ada yang dilupakan.

“Takkanlah benda baik tak boleh sebut? Saya pening bila sejarah tidak dapat diterima sebagai satu hakikat. Dan tak ada orang boleh patah balik untuk perbetulkan kejadian pada masa lalu,” katanya.

Beliau menambah, sejarah perlu dijadikan pedoman dalam membuat perancangan untuk masa kini dan masa hadapan.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menyentuh mengenai catatan sejarah yang banyak ditulis oleh orang Barat serta keperluan memahami pelbagai bahan sejarah.

“Kebanyakan sejarah kita ini ditulis oleh orang putih. ‘Depa’ kata yang kalah meratap, yang menang menulis sejarah. Kita baca banyak bahan-bahan sejarah.

“Dan kita akan temui betapa indahnya orang-orang yang baik hati, telah berkorban begitu banyak.

“Saya ‘habaq’ dalam ucapan saya itu orang Cina boleh meniaga dalam kampung Melayu, orang India boleh duduk dalam kampung Melayu. Itu hakikat yang sebenarnya. Bukan saya reka,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2026

- Advertisement -
- Advertisement -