Tular di medsos bawa perubahan kepada Pantai Baru

- Advertisement -

BACHOK: Dahulunya Pantai Baru hanya sebuah perkampungan nelayan yang dikenali masyarakat setempat sebagai lokasi bot keluar memukat ikan seawal pagi sebelum kembali membawa hasil tangkapan menjelang petang.

Bertahun-tahun lamanya, kawasan itu hanya berfungsi sebagai tempat pendaratan hasil laut tanpa sebarang aktiviti jual beli yang menarik perhatian orang ramai.
 
Namun dalam tempoh lima bulan kebelakangan ini, Pantai Baru mula berubah wajah apabila kawasan tersebut tular di media sosial sehingga menjadi tarikan baharu di Bachok.
 
Keunikan kehidupan nelayan serta jualan ikan segar terus dari laut menjadi faktor utama kawasan berkenaan dikunjungi orang ramai dari pelbagai tempat.
 
Pengunjung bukan sahaja datang mendapatkan hasil laut, malah turut membawa keluarga menikmati suasana pantai sambil menyaksikan bot-bot nelayan ditarik naik ke darat menggunakan traktor.
 
Perubahan itu bermula apabila hasil laut dijual terus kepada peniaga, pengusaha kedai makan serta orang ramai pada harga lebih rendah berbanding pasaran selepas aktiviti jualan ikan segar itu dipromosikan menerusi siaran langsung TikTok dan rakaman video.
 
Peniaga tempatan, Adnan Ariffin, 58, antara individu yang memperkenalkan aktiviti jualan tersebut sehingga Pantai Baru mula dikenali ramai.
 
Anaknya, Muhammad Iqwan Adnan, 26, berkata, perubahan yang berlaku di Pantai Baru adalah di luar jangkaan keluarga mereka.

“Kami mula berniaga di sini sejak lima bulan lalu. Sebelum ini kami menjual ikan segar di tepi jalan sekitar Kampung Badak berhampiran stesen minyak Petron.
 
“Kami mengambil keputusan untuk pindah berniaga di sini dengan menyewa kawasan ini untuk meneruskan perniagaan,” katanya ketika ditemui.
 
Menurutnya, setiap kali bot nelayan mendarat, hasil laut yang dibawa naik akan terus dijual kepada pelanggan yang sudah menunggu.
 
Tambahnya, ketika ini orang ramai mula menunggu bekalan ikan segar yang baru mendarat sekitar jam 2 petang.
 
“Alhamdulillah, selepas berpindah ke sini jualan jauh lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.
 
Iqwan berkata, menerusi Pesta Pukat Kaya, lebih 50 jenis ikan dipamerkan kepada pelanggan termasuk udang dan sotong.
 
Tambah nya, pesta jualan berkenaan biasanya diadakan setiap dua minggu sekali bergantung kepada keadaan laut.
 
Beliau berkata, operasi jualan ketika pesta berkenaan melibatkan kira-kira 20 pekerja bagi menguruskan pelanggan yang datang tanpa henti.
 
Katanya, pelanggan bukan sahaja terdiri daripada penduduk Bachok, malah turut datang dari Tumpat, Pasir Puteh, Kota Bharu, Gua Musang dan Jeli selepas mengetahui lokasi tersebut menerusi media sosial.
 
Menurutnya, anak-anak perantau juga mengambil kesempatan ketika pulang ke kampung untuk mendapatkan ikan segar di Pantai Baru.
 
“Harga ikan bergantung kepada musim dan bekalan. Hari ini ada ikan dijual pada harga RM24 sekilogram, manakala ada juga yang mencecah RM35 sekilogram.
 
“Udang pula dijual antara RM35 hingga RM45 sekilogram, manakala ikan selayang sekitar RM8 sekilogram,” katanya.
 
Iqwan berkata, pada hari jualan Pesta Pukat Kaya, jumlah pelanggan boleh mencecah hampir 1,000 orang bermula jam 11 pagi hingga 6.30 petang.
 
Beliau turut memberitahu, hampir 50 pelanggan tetap yang terdiri daripada peraih, peniaga pasar, pengusaha kedai makan dan pemilik kedai runcit datang mendapatkan bekalan ikan segar daripada mereka.
 
Kini, kemeriahan Pantai Baru bukan sahaja memberi limpahan rezeki kepada peniaga ikan, malah menghidupkan kembali suasana perkampungan nelayan yang sebelum ini hanya sibuk ketika bot keluar dan pulang dari laut.
 
Setiap kali bot mendarat membawa hasil tangkapan, orang ramai kini sudah sedia menunggu di gigi pantai untuk mendapatkan ikan segar terus dari laut.
 
-HARAKAHDAILY 30/7/2026

- Advertisement -
- Advertisement -