
KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bunut Payong, Shaari Mat Yaman mengumumkan bakal menganjurkan Karnival Cakna Rakyat yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 24 Oktober depan.
Menurut Shaari, pihaknya sudah merancang untuk mengadakan program berorientasikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat dengan skala yang besar sejak tahun 2009 lagi.
Beliau berkata, sebuah jawatankuasa induk ditubuhkan bagi melaksanakan gerak kerja sekaligus memastikan program berkenaan akan mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
“Oleh kerana program ini agak mega, maka kita memerlukan kewangan yang besar menampung kos mengadakan program Cakna Rakyat ini, kita yakin dapat adakan dengan sebaik mungkin.
“Kita juga mengalu-alukan penyertaan mana-mana pihak badan bukan kerajaan dan agensi syarikat untuk bersama kita menjadi rakan penganjur Karnival Cakna Rakyat kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk Karnival Cakna Rakyat di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bunut Payong, di sini, hari ini.
Bekas aktivis masyarakat itu menjelaskan, karnival yang diadakan di Lembah Sireh Kota Bharu bakal diisi dengan pelbagai aktiviti dan acara menjadi tarikan berdekatan.
Selain itu menurut beliau lagi, beberapa agensi kerajaan seperti pihak berkuasa dan pihak berkuasa Tempatan turut menyertai bagi menawarkan diskaun bayaran saman dan kompaun.
“Antara pengisian yang bakal diadakan dalam karnival yang akan kita adakan ini ialah fun walk, perarakan, konsert, persembahan kebudayaan Kelantan dan himpunan motosikal.
“Selain itu turut diadakan pelbagai pertandingan berbentuk sukaneka, jualan produk dan pameran agensi termasuklah agensi yang menawarkan pengurangan kompaun,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/9/2024




















