
KUALA TERENGGANU: Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) disifatkan sebagai medan terbaik untuk Terengganu mendapatkan semula hak-hak negeri yang dinafikan selepas Kerajaan Persekutuan menolak tuntutan sebahagian kos Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu mengecewakan kerajaan negeri yang sekian lama memperjuangkan tuntutan berkenaan.
Menurut beliau, tanpa perlu perbahasan yang panjang, perubahan kerajaan di peringkat Persekutuan dilihat sebagai satu-satunya jalan bagi membolehkan hak Terengganu dikembalikan.
“Sudah tentu Terengganu kecewa. Nampaknya ada satu cara sahaja untuk kami perolehi semula hak-hak kami yang dinafikan.
“Ini kali, tanpa perlu bahas berjela-jela, satu cara sahaja iaitu kita ubah kerajaan di peringkat Persekutuan dalam PRU16 nanti,” katanya dalam satu kenyataan di hantaran laman Facebook miliknya, kelmarin.
Pada 7 Julai, Kerajaan Persekutuan menolak tuntutan bayaran balik berjumlah RM1.43 bilion kepada Kerajaan Negeri Terengganu membabitkan kos pembinaan LPT2.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, sebelum ini Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bersetuju menggunakan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) untuk menampung sebahagian kos pembinaan lebuh raya itu.
Katanya, mengikut arahan akaun amanah DKKP, dana itu digunakan bagi program, projek dan aktiviti yang memberi manfaat kepada rakyat di negeri-negeri berkaitan.
Bagaimanapun terdahulu, Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, kerajaan negeri mempunyai maklumat bahawa hutang tersebut telah dipersetujui oleh Kabinet pada waktu itu memberi kelulusan bayaran balik dalam bentuk ‘in-kind’.
“Sekiranya tidak diiktiraf sebagai hutang, sudah tentu ia tidak diberi dalam bentuk ‘in-kind’,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/7/2026
















