PRN Johor beri isyarat politik yang tak boleh diabaikan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang baru berakhir memberikan isyarat politik jelas dan tidak boleh diabaikan oleh mana-mana parti, khususnya dalam menentukan hala tuju landskap politik tanah air.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kemenangan besar Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, secara tidak langsung memberikan parti itu pengaruh semakin besar dalam menentukan dasar dan hala tuju Kerajaan Persekutuan.

Malah, beliau menyifatkan perkembangan tersebut berpotensi menjadi ‘duri dalam daging’ kepada keutuhan kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN pada peringkat Pusat.

Mengulas mengenai keputusan itu, beliau menyatakan bahawa PAS menerima keputusan mandat yang diberikan oleh rakyat Johor dengan hati yang terbuka, biarpun akur gabungan Perikatan Nasional (PN) gagal mempertahankan tiga kerusi dimenangi sebelum ini.

“Keputusan rakyat hendaklah diterima dengan hati terbuka serta dijadikan asas untuk bermuhasabah dan memperbaiki kelemahan. Bagi PAS dan PN, keputusan ini perlu dijadikan medan muhasabah.

“Kegagalan mempertahankan tiga kerusi menunjukkan terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki, khususnya dari aspek penyelarasan organisasi, kekuatan jentera dan kesatuan dalaman,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim menjelaskan, satu proses bedah siasat (post-mortem) yang menyeluruh akan dilaksanakan segera bagi memastikan jentera parti lebih bersiap sedia untuk mendepani PRN Negeri Sembilan serta pilihan raya akan datang.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan integriti pemimpin DAP, Nga Kor Ming yang sebelum ini dilaporkan berjanji untuk meletakkan jawatan sekiranya PH gagal mencapai sasaran dalam pilihan raya berkenaan.

“Sudah semestinya rakyat sedang menunggu sama ada janji tersebut akan ditunaikan. Pemimpin DAP ini perlulah menunaikan janji yang dilafazkan. Jika tidak, DAP adalah parti yang hanya pandai berjanji namun tiada integriti,” tegas beliau.

Menurut beliau lagi, keputusan pilihan raya kali ini membuktikan PH masih bergelut dan gagal untuk memulihkan keyakinan rakyat sepenuhnya.

Kehilangan beberapa kerusi tradisi PH menjadi bukti jelas kelemahan tersebut, meskipun Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, turun berkempen secara agresif.

“Ternyata kehadiran beliau (Anwar) masih belum cukup meyakinkan kembali rakyat yang semakin nampak beliau dan pasukannya dari parti PH tidak amanah menunaikan janji,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai impak parti-parti baharu seperti BERSAMA dan MUDA, Tuan Ibrahim berpandangan entiti politik berkenaan masih belum mampu menawarkan alternatif yang kukuh untuk meraih kepercayaan pengundi.

Sebaliknya, kehadiran mereka dalam persaingan pelbagai penjuru hanya memecahkan undi pembangkang sekali gus memberi kelebihan mutlak kepada BN.

Melihat kepada senario politik semasa pasca PRN Johor, beliau menjangkakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) tidak akan diadakan dalam masa terdekat.

“Kerajaan dijangka meneruskan pentadbiran sehingga hampir tamat penggal bagi memanfaatkan kelebihan semasa,” katanya lagi.

Keputusan rasmi PRN Johor menyaksikan BN mengungguli dengan kemenangan besar 48 daripada 56 DUN dan bakinya dimenangi PH, namun jelas menyaksikan wujud gelombang penolakan kepada DAP khususnya. – HARAKAHDAILY 12/7/2026

- Advertisement -