Seruan pastikan kuasa Melayu-Islam di Johor berjaya!

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 menunjukkan seruan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk memastikan kuasa pemerintahan negeri terus berada di bawah kepimpinan orang Melayu Islam berjaya direalisasikan.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed berkata, keputusan pilihan raya itu juga menunjukkan majoriti rakyat dan pengundi negeri Johor menzahirkan penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP.

“PAS Johor bersama PERIKATAN NASIONAL akan terus beristiqamah dalam memperkukuhkan komitmen dan meneruskan agenda perjuangan.

“(Ia) demi agama, bangsa serta kebajikan rakyat, sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 akan datang,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

PAS Johor menurut beliau, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh barisan kepimpinan di pelbagai peringkat, ahli, petugas dan jentera pilihan raya, penyokong serta pengundi PERIKATAN NASIONAL-PAS.

Jelasnya, penghargaan itu turut ditujukan kepada pasukan tempatan, kawasan bantu dari seluruh negeri Johor, negeri-negeri bantu dari seluruh Malaysia serta PAS Pusat yang memberikan komitmen tinggi.

“Termasuk menyumbangkan tenaga, masa serta wang ringgit dalam membantu PAS Johor menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor Ke-16.

“Semoga segala sumbangan dan pengorbanan tersebut dikurniakan ganjaran pahala serta keberkatan yang berlipat ganda daripada Allah SWT,” harapnya.

Dato’ Dr Mahfodz menjelaskan, PAS Johor akur, menghormati dan menerima keputusan PRN Johor Ke-16 dengan hati yang terbuka.

Menurutnya, rakyat dan para pengundi negeri Johor telah menzahirkan pilihan serta kehendak mereka secara demokratik dalam menentukan kepimpinan kerajaan negeri Johor.

“PAS Johor mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Barisan Nasional yang diterajui oleh Dato’ Onn Hafiz Ghazi atas kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri Johor Ke-16.

“(Ia) dengan memperoleh majoriti kerusi yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan Negeri Johor yang baharu,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, keputusan rasmi PRN Johor ke-16 menunjukkan BN mendominasi persaingan dengan kemenangan besar di banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk beberapa kawasan yang menyaksikan peningkatan majoriti berbanding PRN 2022.

PH pula berlakunya penurunan jumlah kerusi, manakala parti-parti lain tidak mencatat sebarang kemenangan di kerusi yang ditandingi di mana-mana dalam 56 DUN seluruh negeri ini.

Beberapa kemenangan BN turut mencatat majoriti besar seperti di Panti, Machap, Semarang, Bukit Permai dan Penawar, sekali gus mengukuhkan kedudukan gabungan itu dalam politik Johor. – HARAKAHDAILY 11/7/2026

- Advertisement -