
SITUASI geopolitik di Asia Timur kini semakin tegang berikutan ‘perang diplomatik’ yang semakin memuncak antara China dan Filipina berikutan implementasi keputusan timbangtara Tribunal UNCLOS pada 2016 yang memihak pada Filipina dalam tuntutan bertindih China-Filipina berkaitan sempadan maritim di Laut China Selatan.
Dalam situasi semasa geopolitik yang semakin tidak menentu ketika ini,adalah amat penting untuk mengekalkan keamanan dan kemakmuran serantau serta memelihara hubungan baik antara negara-negara ASEAN dengan China. Ketegangan mahupun perang diplomatik langsung tidak menguntungkan mana-mana pihak namun kesan buruknya baik dari segi geopolitik, ekonomi dan keselamatan adalah amat besar dan panjang.
Implikasi akibat ketegangan antara China dan Filipina saat ini dan pengakhirannya juga bakal memberi kesan besar terhadap tuntutan dan penyelesaian antara negara-negara ASEAN lain dengan China dalam isu yang amat mencabar ini. Oleh itu adalah amat wajar tindakan segera perlu dilakukan khususnya oleh ASEAN untuk merungkai kemelut ini.
PAS berpandangan bahawa isu pertikaian tuntutan bertindih sempadan maritim di Laut China Selatan ini perlu penyelesaian diplomatik yang tuntas dan rundingan yang konstruktif antara ASEAN dan China dalam usaha penyelesaian berkekalan. Ia perlu berteraskan semangat setiakawan dan toleransi, menjaga pragmatik hubungan ASEAN-China dan kedaulatan negara yang terlibat dengan berpandukan lunas undang-undang antarabangsa.
Dalam masa sama, campurtangan asing perlu dielakkan pembabitannya dalam usaha menyelesaikan pertikaian ini kerana hakikatnya ianya akan memburukkan lagi keadaan. Dalam situasi semasa geopolitik global ketika ini, pastinya ada pihak-pihak yang mempunyai agenda tersendiri untuk dilunaskan di rantau yang amat kaya dengan hasil bumi dengan kedudukan yang amat strategik ini.
Oleh itu, adalah amat penting bagi ASEAN dan China untuk mencapai kata sepakat dalam usaha menyelesaikan isu tuntutan maritim bertindih di Laut China Selatan dengan segera demi mencapai keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran bersama. Lebih lama dibiarkan, lebih banyak “jarum halus” yang bakal menyusup untuk memporak-perandakan keadaan.
“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”
DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 11/7/2026




















