
KUALA LUMPUR: Ulang tahun kedua Pertempuran Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober lalu, bukan sahaja merobek hati umat Islam seluruh dunia, tetapi juga mereka yang cintakan kedamaian tanpa mengira agama dan bangsa.
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Najihahtussalehah Ahmad berkata, kesedihan serta kekecewaan umat Islam seluruh dunia tidak dapat dibendung apabila bumi Gaza dilihat semakin hancur malah jeritan anak-anak kecil serta rintihan para ibu bergema di celah runtuhan bangunan.
Tegasnya, walaupun tragedi tidak berperikemanusiaan itu disaksikan dunia, namun ia dilihat seolah-olah kaku walaupun darah rakyat Palestin terus tumpah tanpa henti.
“Bukan setakat dua tahun, sudah lebih tujuh dekad penderitaan ini berlanjutan, bermula daripada pengusiran, penindasan dan penjajahan yang tidak pernah berakhir.
“Kini, krisis kemanusiaan di Gaza bukan lagi sekadar isu politik atau wilayah tetapi ia adalah tragedi kemanusiaan yang menuntut suara tegas seluruh dunia untuk mengakhirkan konflik ini dengan keadilan dan kemanusiaan sebagai asas utama,” jelas beliau dalam satu kenyataan, di sini.
Menurut Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bota itu lagi, institusi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilihat gagal untuk menghentikan pembunuhan berterusan terhadap rakyat negera berkenaan.
Keadaan sedemikian katanya, secara tidak langsung, memperlihatkan lemahnya sistem global yang sering berat sebelah, walaupun resolusi demi resolusi diluluskan, namun tiada tindakan konkrit yang dihasilkan.
“PBB sendiri gagal untuk menghentikan penjajahan dan penindasan yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap Palestin.
“Sikap bisu kuasa besar dunia ini merupakan pengkhianatan terhadap nilai kemanusiaan sejagat,” tegas beliau.
Sungguhpun begitu, Dr Najiha berkata, penderitaan yang dialami penduduk Palestin khususnya di Gaza menjadi simbol ketabahan luar biasa.
“Dunia menyangka mereka akan tunduk, tetapi sebaliknya rakyat Gaza bangkit dengan semangat sumud iaitu teguh mempertahankan tanah air, agama dan maruah.
“Mereka hidup dalam kepungan, namun hati mereka teguh dengan keyakinan bahawa kebenaran pasti mengatasi kebatilan.
“Sikap ini sesuai dengan Firman Allah (Surah Ali Imran: 169) yang bermaksud ‘Dan janganlah kamu menyangka bahawa orang-orang yang terbunuh di jalan Allah itu mati, bahkan mereka hidup di sisi Tuhan mereka, diberi rezeki’,” tambah beliau lagi.
Dalam pada itu, beliau juga menegaskan, dunia dan umat Islam wajar mempunyai peranannya tersendiri terutama bersatu menyuarakan kebenaran dan menolak segala bentuk normalisasi dengan rejim penjajah.
Masyarakat antarabangsa juga ujarnya, harus sedar bahawa keamanan hanya boleh tercapai apabila keadilan ditegakkan.
“Kita mesti tegas serta berani untuk menuntut agar penjajahan Zionis dihentikan sepenuhnya, sekatan terhadap Gaza ditamatkan segera dan pelaku jenayah perang dibawa ke muka pengadilan antarabangsa.
“Ini bukan lagi soal politik tetapi ini soal hak hidup manusia yang dirampas dengan kejam,” ujarnya penuh semangat.
Berikutan itu, beliau menyeru agar semua pihak tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik agar berdiri bersama rakyat Gaza demi kemanusiaan yang tidak mengenal sempadan.
Katanya lagi, tiada siapa yang harus berdiam diri ketika nyawa tidak berdosa menjadi korban malah masyarakat dunia mesti mendesak gencatan senjata menyeluruh dilakukan agar bantuan kemanusiaan melalui saluran yang sah dan telus dapat diusahakan.
“Konflik Gaza hanya akan berakhir apabila keadilan ditegakkan. Selagi kezaliman dibenarkan bermaharajalela, selagi itu keamanan akan menjadi ilusi.
“Dunia tidak akan aman selagi bumi Palestin terus menangis. Sudah tiba masanya kita semua sama ada pemimpin, masyarakat dan individu, bersatu dalam doa dan tindakan.
“Demi satu suara mengakhiri konflik di Gaza. Pulihkan Kemanusiaan. Tegakkan Keadilan,” tegas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 9/10/2025




















