
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan penghargaan kepada semua peserta Global Sumud Flotilla (GSF) yang menjadi inspirasi perjuangan umat Islam untuk terus teguh menentang kezaliman Zionis di Gaza.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, perjuangan yang dipersembahkan para peserta flotilla tersebut memberi mesej jelas bahawa umat Islam tidak akan tunduk kepada penindasan.
“Saya ucapkan tahniah dan penghargaan kepada seluruh peserta Global Sumud Flotilla yang memberikan inspirasi perjuangan kepada kita semua untuk tetap sumud.
“Dan tidak berganjak dalam usaha memecahkan kepungan serta kesunyian terhadap genosid yang berlaku di Gaza,” katanya ketika berucap merasmikan Konsert Amal Sumud Palestin.
Program itu sempena Sambutan 35 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam (MBI 2025) di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, baru-baru ini.
“Setiap langkah, doa dan sumbangan yang dihulurkan adalah sebahagian daripada jihad menentang kezaliman Zionis dan menjadi bukti bahawa umat Islam tidak pernah berpaling daripada isu Palestin,” ujarnya.
Menurut beliau, keberanian dan pengorbanan para peserta misi kemanusiaan itu menjadi kekuatan moral kepada umat Islam di seluruh dunia untuk terus membela tanah suci Palestin.
“Tanah Palestin milik umat Islam dan wajib dipertahankan. Kita tidak boleh sesekali tunduk kepada kezaliman yang sedang mencengkam bumi anbiya itu.
“Insya-Allah, perjuangan ini tidak akan terhenti sehingga bumi Palestin benar-benar dibebaskan daripada penjajahan Zionis,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti.
Sempena majlis itu turut diadakan konsert amal menampilkan persembahan Poyie Gasi, Den Manjo, Hazwan Rahman dan Geng 3 Beradik.
Turut hadir Ahli-Ahli Exco kerajaan negeri, Ahli-Ahli Parlimen, pimpinan masyarakat serta wakil peserta Sumud Flotilla antaranya Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Zulfadhli Khiruddin. – *HARAKAHDAILY 26/10/2025*


















