Misi Sumud Flotilla: ‘Break the siege, break the silence’

- Advertisement -

SUMUD adalah istilah Arab yang bermaksud keteguhan, dan kekuatan jiwa, yang telah lama sebati dengan penduduk Gaza. Di tengah kepungan, kehancuran, dan ancaman kematian, mereka tetap berdiri teguh di atas tanah mereka. Mereka enggan meninggalkan bumi yang mereka percaya ianya adalah tanah wakaf umat Islam, meskipun nyawa mereka menjadi taruhannya.

Dari semangat inilah lahir Global Sumud Flotilla (GSF) iaitu sebuah gerakan kemanusiaan antarabangsa yang bertujuan membangkitkan kesedaran global terhadap nasib rakyat Palestin yang semakin dilupakan. Dengan motto ‘Break the siege, break the silence’, GSF berusaha melakukan dua hal sekali gus: memecahkan kepungan fizikal Israel terhadap Gaza, dan memecahkan kebisuan dunia terhadap kezaliman yang berlangsung selama puluhan tahun. Matlamat akhir gerakan ini adalah menghidupkan kembali solidariti umat Islam dan komuniti global terhadap perjuangan Palestin.

Sebelum berlayar menuju perairan Gaza, para peserta GSF menjalani persiapan intensif selama dua minggu di Catania, Sicily. Latihan diadakan secara rahsia di sebuah gereja, atas izin paderi setempat. Ia suatu hal yang luar biasa mengenai perpaduan kemanusiaan dan saling hormat antara agama. Di dalam gereja itu, umat Islam diberi kebebasan untuk mengumandangkan azan dan menunaikan solat.

Yang menariknya, GSF diikuti oleh wakil dari 45 negara, dengan majoriti pesertanya bukan Muslim. Aktiviti solat berjemaah menjadi daya tarikan tersendiri bagi mereka. Mereka kagum menyaksikan ketenangan dan kekhusyukan dalam solat serta azan.

- Advertisement -

Rutin dan amalan di atas kapal

Di tengah lautan yang ganas, aktiviti ruhiyyah tetap diutamakan. Solat malam (qiyam) dijalankan secara bergilir semasa ‘night-watch.’ Ia tidak pernah ditinggalkan sepanjang pelayaran. Bacaan wirid harian dan tilawah al-Qur’an menjadi amalan rutin. Doa menjadi ruang refleksi; agar kekal teguh dalam misi ini hingga akhir hayat.

Logistik dan pertukaran kapal

Sebahagian peserta GSF menggunakan kapal layar ‘second-hand’ yang sering mengalami kerosakan teknikal. Pertukaran kapal berulang kali terpaksa dilakukan kerana kegagalan enjin dan juga serangan luar. Dalam satu insiden kritikal, kapal layar diserang drone Israel yang menyebabkan kerosakan teruk di bahagian tengah. Kru terpaksa berpindah ke kapal  untuk meneruskan misi.

Fokus Misi untuk menghampiri pantai Gaza

Flotilla terdahulu juga memasuki Laut Mediterranean, dan beberapa kapal pernah berjaya mendarat di Gaza. Namun, Israel secara sepihak mengisytiharkan kawasan perairan antarabangsa sebagai ‘Red Zone’ dan menahan kapal-kapal tersebut. Realitinya, pendaratan fizikal ke Gaza kini hampir mustahil. Oleh itu, fokus GSF bukan lagi pada penghantaran bantuan secara langsung, tetapi pada memecahkan kepungan naratif iaitu menembusi tembok senyap media dan mencetuskan tekanan global.

Strategi GSF yang berbeza

Misi kali ini dirancang dengan pendekatan strategik yang lebih matang. Komposisi peserta termasuk ahli Parlimen, ‘influencer’ media sosial, serta personaliti media. Penjadualan pelayaran diselaraskan dengan waktu Persidangan PBB untuk memaksimumkan tekanan diplomatik. Di darat, gelombang solidariti Eropah memuncak di mana himpunan harian besar-besaran diadakan, manakala kesatuan pekerja pelabuhan mengadakan mogok dan menolak kapal yang berkaitan dengan Israel.

Tekanan antarabangsa terhadap Israel kini meningkat tajam: lebih 156 negara menyatakan sokongan terhadap Palestin. Beberapa negara Eropah menyokong usul baharu di PBB, termasuk cadangan untuk mengurangkan kuasa veto Majlis Keselamatan. ASEAN turut menyatakan sokongan kolektif. Dalam konteks geopolitik, kelemahan ekonomi AS, kebangkitan naratif China di dunia Arab, kegagalan momentum Abraham Accords, serta eskalasi konflik Israel dan Iran menunjukkan kerentanan rejim Israel telah membuka ruang strategik bagi gerakan seperti GSF.

Penegasan semula objektif misi

GSF tidak menjanjikan penyelesaian logistik penuh. Bantuan yang dibawa adalah simbolik dan tidak mencukupi untuk keperluan penduduk Gaza seluruhnya. Namun, kesannya menjana kesedaran global dan tekanan politik. Misi ini adalah tentang ‘Break the siege’ i.e. bukan hanya fizikal, tetapi juga psikologis dan naratif, dan ”Break the silence’ terhadap kezaliman yang berlangsung selama 77 tahun.

Paling penting, ia mengingatkan umat Islam di seluruh dunia bahawa perjuangan Palestin adalah tanggungjawab bersama. Ia bukan pilihan, tetapi amanah.

Perkongsian dari:

NIK ABD AZIZ NIK MOHD
Pengarah Perhubungan Korporat
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM Malaysia) – HARAKAHDAILY 28/10/2025

Biodata:
Lahir di Manong, Kuala Kangsar, Perak, Nik Abd Aziz Bin Nik Mohd merupakan seorang penggerak kemanusiaan berpengalaman yang telah mencurahkan lebih daripada 14 tahun dalam bidang bantuan kemanusiaan—baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
Sebagai Pengarah Perhubungan Korporat MAPIM Malaysia, beliau memainkan peranan strategik dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara pelbagai pertubuhan Islam, agensi antarabangsa, dan pihak berkepentingan untuk memperjuangkan keadilan, hak asasi, dan sokongan kemanusiaan kepada komuniti yang terkesan oleh konflik, bencana, dan ketidakadilan global.

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -