
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff, membantah keras kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, ke Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN hari ini.
Beliau berkata, kehadiran Trump bukan sahaja tidak dialu-alukan, malah dianggap sebagai satu penghinaan terhadap nilai kemanusiaan serta prinsip keadilan antarabangsa yang diperjuangkan rakyat Malaysia dan dunia Islam.
“Donald Trump merupakan antara pemimpin dunia yang paling lantang menyokong rejim Zionis Israel, yang terus menindas dan membunuh rakyat Palestin tanpa peri kemanusiaan.
“Di bawah pentadbirannya, Amerika Syarikat telah memindahkan kedutaan ke Baitulmaqdis dan mengiktirafnya sebagai ibu negara Israel.
“Ia merupakan satu tindakan biadab yang menyalahi undang-undang antarabangsa serta mencabul hak rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dr Wan Martina turut menegaskan, kehadiran Trump di Malaysia, sebuah negara yang selama ini konsisten menyokong perjuangan Palestin, boleh dianggap mengguris hati umat Islam dan rakyat yang cintakan keadilan.
“Malaysia mesti kekal berpendirian tegas menolak sebarang bentuk normalisasi atau kerjasama dengan mana-mana kuasa yang menindas rakyat Palestin seperti Israel,” tegasnya.
Beliau turut menyeru Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri supaya mengambil pendirian jelas dan berprinsip, serta memastikan sebarang interaksi rasmi tidak menjejaskan maruah serta pendirian negara terhadap isu Palestin.
Dalam pada itu, Dr Wan Martina menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif rakyat dan badan-badan masyarakat sivil mengadakan Demonstrasi Bantah Trump sebagai manifestasi suara rakyat Malaysia menolak penindasan dan kezaliman global.
“Malaysia mesti berdiri teguh bersama Palestin. Tiada keadilan, tiada kedamaian,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/10/2025




















