Sungai Perak biru: Pembangkang desak siasatan telus

- Advertisement -

IPOH: Kerajaan Negeri Perak digesa agar tidak memandang ringan insiden perubahan warna air Sungai Perak di Kampung Sungai Papan, Gerik, yang tular baru-baru ini dan segera menjalankan siasatan telus bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

- Advertisement -

​Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, beliau memandang serius insiden itu biarpun laporan awal Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyatakan bacaan Indeks Kualiti Air (WQI) masih dalam kategori baik.

​Beliau menggesa Menteri Besar dan Exco Portfolio Alam Sekitar agar tidak terus membisu dan segera turun padang bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk meninjau keadaan sebenar.

​”Rakyat berhak tahu punca sebenar perubahan warna air tersebut. Justeru, saya menuntut supaya siasatan dijalankan secara telus, terbuka dan profesional, termasuk mengambil serta menganalisis semula secara terperinci sampel air dengan segera.

​”Ia bagi mengenal pasti sebarang kesan pencemaran, khususnya bahan kimia atau logam berat seperti arsenik yang boleh menjejaskan kesihatan awam,” katanya.

​Razman turut mengingatkan bahawa Negeri Perak pernah berdepan krisis pencemaran arsenik pada Januari 2019 di Sungai Rui, yang menyebabkan Loji Rawatan Air Sungai Ganda di Gerik ditutup.

​”Kejadian itu membuktikan bahawa pencemaran arsenik bukan perkara mustahil untuk berulang di Perak, khususnya di kawasan berhampiran aktiviti perlombongan dan perindustrian di Hulu Perak.

​”Maka, Kerajaan Negeri mesti belajar daripada kesilapan lalu dan mengambil langkah segera untuk mencegah tragedi serupa,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol.

​Beliau mendesak sekiranya hasil siasatan mendapati wujud unsur pencemaran akibat aktiviti industri atau perlombongan, kerajaan negeri mesti menggantung serta-merta operasi pihak terlibat dan mengenakan kompaun maksimum.

​”Ini bukan isu kecil, ini soal kehidupan, kesihatan rakyat, dan kelestarian alam sekitar. Sungai Perak adalah nadi utama negeri ini,” tambahnya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

​Sementara itu, Pengarah JAS Perak, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, pihaknya akan mengambil sampel air Sungai Perak di lokasi terbabit bagi mengenal pasti punca air sungai bertukar kebiruan.

​Beliau berkata, pegawai penyiasat telah dihantar ke lokasi sebaik menerima maklumat, namun sampel air sungai tidak dapat diambil ekoran hujan lebat.

​“Sampel air sungai itu akan diambil sekiranya cuaca kembali baik. Ketika ini keadaan di lokasi masih hujan lebat dan berisiko tinggi kepada pegawai penyiasat,” katanya.

​Terdahulu, tular di media sosial mengenai perubahan warna air di hulu Sungai Perak di Kampung Sungai Papan, Gerik yang didapati bertukar menjadi biru seperti air laut. – HARAKAHDAILY 25/10/2025

- Advertisement -