Rumah rosak digegar letupan, penduduk rayu siasatan

- Advertisement -

TAMBUN: Kes letupan dan gegaran yang dikatakan berlaku berulang kali di kawasan RPT Batu 10, Kampung Hijrah dan Chepor Indah perlu disiasat secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Ustaz Mohd Hafez Sabri menuntut agar keselamatan dan kesihatan penduduk diberi keutamaan, selain semua kerosakan yang dialami penduduk dinilai secara terperinci.

- Advertisement -

Menurutnya, pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil tindakan sewajarnya termasuk dalam aspek pampasan dan kos baik pulih yang ditanggung penduduk.

“Rakyat hanya mahu hidup dengan aman di rumah sendiri. Mereka tidak sepatutnya tidur dalam ketakutan, membesarkan anak-anak dalam kebimbangan dan menanggung kerosakan yang bukan berpunca daripada mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Ketua Dewan Pemuda PAS Perak itu telah turun padang bersama penduduk RPT Batu 10, Kampung Hijrah dan Chepor Indah bagi meninjau keadaan sebenar yang sedang dihadapi mereka.

Hasil tinjauan itu, beliau menyifatkan situasi berkenaan sebagai amat membimbangkan apabila rumah penduduk mengalami kerosakan akibat gegaran dan letupan yang dikatakan berlaku berulang kali.

Mohd Hafez menjelaskan, penduduk kini hidup dalam keadaan tidak tenteram kerana sentiasa dihantui bunyi letupan dan gegaran sehingga menjejaskan ketenangan mereka di rumah sendiri.

Tambah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu, pencemaran bunyi dan udara yang berlaku turut memberi kesan terhadap kesejahteraan serta kualiti hidup penduduk setempat.

Pada masa sama, beliau memaklumkan, saliran dan infrastruktur kampung turut mengalami kerosakan, sekali gus menambah kesulitan yang terpaksa ditanggung penduduk.

“Lebih menyedihkan, kos membaiki kerosakan rumah terpaksa ditanggung sendiri oleh penduduk, sedangkan mereka menjadi pihak yang terkesan (daripada kejadian ini),” dedah beliau

Sehubungan itu, beliau menegaskan, rakyat tidak boleh dibiarkan berdepan masalah berkenaan tanpa pembelaan dan sokongan sewajarnya.

“Suara rakyat mesti didengari. Keselamatan rakyat mesti diutamakan. Jangan biarkan mereka terus menjadi mangsa tanpa pembelaan.

“Saya akan terus bersama rakyat sehingga isu ini mendapat penyelesaian yang sewajarnya,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 19/6/2026

- Advertisement -