
KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohamed Sukri Omar menegaskan, adalah tidak wajar institusi pendidikan awam dituntut supaya bersikap ‘neutral’ sehingga menafikan identiti dan asas kenegaraan Malaysia sendiri.
Menurutnya, neutraliti tidak bermaksud menghapuskan kedudukan Islam yang telah dipersetujui oleh para pengasas negara serta dimaktubkan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Malangnya, kenyataan Senator (daripada DAP), Dr Lingeshwaran (R Arunasalam) memperlihatkan seperti cenderung untuk mentafsir Perlembagaan menurut kerangka sempit ‘Malaysian Malaysia’ yang sering dibawa oleh DAP.
“Iaitu suatu gagasan yang berulang kali cuba merelatifkan kedudukan Islam, institusi Raja-raja Melayu, bahasa Melayu serta hak-hak yang diperuntukkan dalam Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian dipercayai susulan kenyataan Dr Lingeshwaran yang dilaporkan media tempatan, menggesa siasatan menyeluruh, telus dan bebas dijalankan berhubung poster dikaitkan dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tersebut.
Lingeshwaran menggesa siasatan dilakukan berhubung poster tersebut atas dakwaan mempromosikan pendaftaran mualaf baharu, walaupun universiti itu menafikan poster berkenaan mendapat kelulusan rasmi.
“Sebagai sebuah institusi pendidikan awam yang dibiayai oleh rakyat daripada pelbagai kaum dan agama, UPSI mempunyai tanggungjawab untuk memastikan setiap program dan bentuk komunikasi rasmi dilaksanakan dengan penuh sensitiviti terhadap kepelbagaian masyarakat Malaysia serta mematuhi prosedur yang ditetapkan.
“Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, sebarang kegagalan untuk menangani isu seumpama itu dengan tegas hanya akan menghakis keyakinan orang ramai terhadap institusi awam yang sepatutnya menjadi milik semua,” tegas Senator itu.
Poster yang tular itu dilaporkan menyatakan bahawa, mahasiswa yang memeluk Islam boleh menikmati pelbagai manfaat termasuk yuran pengajian percuma, bantuan kewangan dan program sokongan mualaf.
Walau bagaimanapun, Sukri berkata, pendekatan Lingeshwaran itu bukan sahaja bercanggah dengan semangat Perlembagaan, malah berpotensi menghakis asas persefahaman nasional yang telah sekian lama menjadi tunjang kestabilan negara.
“DAP dan sekutunya sewajarnya menghormati kerangka kenegaraan yang telah dipersetujui bersama, bukannya terus-menerus mencabar perkara asas yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat majmuk.
“Janganlah bersikap seperti kaduk naik junjung, diberi ruang dalam sistem demokrasi, akhirnya asas-asas Perlembagaan pula mahu dipersoalkan,” tempelak beliau dalam kenyataan.
Mohamed Sukri yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menekankan bahawa, Malaysia dibina atas prinsip saling menghormati.
Menurutnya, umat Islam sentiasa menghormati hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing.
“Pada masa yang sama, hak umat Islam untuk berdakwah secara aman dan berhemah juga wajib dihormati,” ulas beliau.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak agar menghentikan polemik yang mempertikaikan hak dakwah umat Islam dan kembali menghormati semangat Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang cubaan menghakis kedudukan Islam atas nama pluralisme yang ditafsir secara sempit dan melampau hanya akan menjejaskan keharmonian serta kestabilan negara.
Sehubungan dengan itu, Mohamed Sukri mengecam kenyataan Dr Lingeshwaran yang mempertikaikan usaha dakwah serta program pendaftaran saudara baharu (mualaf) di institusi pengajian tinggi.
Beliau berpandangan, kenyataan itu bukan sahaja memperlihatkan kegagalan memahami kerangka Perlembagaan Persekutuan, bahkan mencerminkan kecenderungan untuk mempertikaikan hak umat Islam yang dijamin oleh undang-undang tertinggi negara.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa kedudukan Islam di Malaysia bukan sekadar simbolik atau bersifat ritual semata-mata.
Katanya, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan.
“Pada masa yang sama, Perkara 11(1) menjamin kebebasan beragama, manakala Perkara 11(4) memberikan kuasa kepada negeri-negeri untuk mengawal atau menyekat penyebaran agama lain kepada umat Islam.
“Peruntukan ini secara jelas membuktikan bahawa Perlembagaan mengiktiraf kedudukan istimewa Islam serta hak untuk agama Islam disebarkan dan dikembangkan secara aman, berhemah dan mengikut lunas undang-undang,” jelasnya.
Justeru, beliau menegaskan, usaha dakwah serta program pendaftaran saudara baharu yang dilaksanakan oleh pusat Islam di institusi pengajian tinggi adalah sah, berperlembagaan dan selaras dengan identiti negara.
“Selagi pelaksanaannya dibuat secara sukarela, tanpa paksaan, beretika serta mematuhi undang-undang, tiada mana-mana pihak berhak menghalang, mempertikai atau menimbulkan syak wasangka terhadap aktiviti dakwah di kampus,” tegasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa institusi pengajian tinggi bukanlah kawasan larangan kepada dakwah Islam.
“Sebaliknya, kampus merupakan medan ilmu yang seharusnya subur dengan wacana, pencerahan dan penghayatan nilai-nilai murni berasaskan Perlembagaan serta prinsip Rukun Negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/6/2026











