
BAKRI: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi kerusi N.13 Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Arshed Yahya atau lebih dikenali sebagai Awang menyantuni masyarakat Cina menerusi kunjungan ke Pasar Guang Yuang, di sini.
Dalam program itu, Awang meluangkan masa beramah mesra bersama para peniaga dan pengunjung pasar, bertanyakan khabar serta mendengar sendiri pandangan mereka mengenai isu-isu setempat dalam suasana yang santai dan harmoni.
Beliau berkata, peluang untuk bertemu masyarakat Cina secara lebih dekat itu amat bermakna selepas hampir dua minggu menjalani kempen yang padat.
“Alhamdulillah, akhirnya berpeluang menyantuni masyarakat Cina. Selepas 11 hari berkempen, hari ini saya berkesempatan bertemu dan beramah mesra dengan para peniaga serta pengunjung di Pasar Guang Yuang,” katanya.

Menurut Awang, sambutan yang diberikan masyarakat setempat amat menggalakkan dan mencerminkan keterbukaan rakyat untuk menerima kehadiran pemimpin tanpa mengira latar belakang politik mahupun kaum.
Beliau berkata, pertemuan seperti itu bukan sekadar medan memperkenalkan diri sebagai calon, malah menjadi ruang terbaik untuk memahami denyut nadi masyarakat serta mendengar sendiri harapan mereka terhadap masa depan Simpang Jeram.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Ng Mey Yuan daripada GERAKAN serta Dr Shawn Loh daripada Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Melaka yang membantu menjayakan sesi tersebut.

Menurutnya, kerjasama erat antara pelbagai komponen dan penyokong dalam gabungan PERIKATAN NASIONAL memperlihatkan komitmen bersama untuk mendekati rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Beliau berkata, kemesraan yang terjalin sepanjang kunjungan itu membuktikan bahawa perpaduan mampu dipupuk melalui sikap saling menghormati serta kesediaan untuk memahami antara satu sama lain.
“Walaupun berbeza bangsa dan latar belakang, kemesraan yang terjalin membuktikan bahawa persefahaman dan saling menghormati adalah asas kepada sebuah masyarakat yang harmoni.

“Semoga ukhuwah ini terus diperkukuhkan demi Simpang Jeram yang lebih bersatu dan sejahtera,” katanya.
Tinjauan sepanjang program itu menyaksikan Awang disambut mesra oleh para peniaga dan pelanggan di pasar berkenaan.
Beliau turut meluangkan masa berbual, bergambar serta bertukar pandangan dengan pengunjung daripada pelbagai latar belakang dalam suasana yang penuh muhibah. – HARAKAHDAILY 9/7/2026











