Khidmat Cikgu Mala terbukti tidak bermusim

- Advertisement -

LABIS: Komitmen calon PERIKATAN NASIONAL (PN) N.05 DUN Tenang, Normala Sudirman menyantuni masyarakat meskipun belum bergelar wakil rakyat membuktikan beliau sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat, kata Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad.

Menurut beliau, Normala bukanlah individu yang asing dalam kalangan penduduk kerana telah lama mencurahkan khidmat kepada masyarakat menerusi pelbagai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.

- Advertisement -

“Normala tidak perlu diperkenalkan lagi. Rakyat di kawasan ini sudah mengenali beliau kerana telah lama berkhidmat dan sentiasa bersama masyarakat.

“Walaupun belum lagi menjadi wakil rakyat, beliau tetap turun padang menyantuni penduduk di sekitar Labis serta menghadiri pelbagai program anjuran PAS, pertubuhan Islam dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya di sini.

Beliau berkata, sifat istiqamah dan kesungguhan Normala mendampingi rakyat membuktikan perjuangannya bukan bermusim atau hanya ketika pilihan raya, sebaliknya diteruskan secara konsisten bagi memastikan kebajikan masyarakat terus terbela.

Dalam pada itu, Idris turut menyeru golongan muda supaya memainkan peranan besar dalam menentukan masa depan DUN Tenang dengan membuat pilihan yang bijaksana pada hari pengundian.

Katanya, anak muda hari ini mempunyai akses kepada pelbagai sumber maklumat dan mampu menilai calon yang benar-benar layak mewakili suara rakyat.

“Anak-anak muda mempunyai maklumat yang luas. Mereka tahu memilih pemimpin yang mampu membawa dan menyuarakan kepentingan rakyat serta menyelesaikan pelbagai permasalahan masyarakat di DUN Tenang.

“Mereka juga boleh menjadi ejen masyarakat dengan membantu menyampaikan pelbagai isu dan aduan melalui saluran yang betul agar tindakan dapat diambil oleh pihak berkaitan,” ujarnya.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu berharap sokongan seluruh lapisan masyarakat, khususnya pengundi muda, dapat memperkukuhkan usaha PN meneruskan agenda kebajikan di DUN Tenang.

“Pemimpin yang sentiasa bersama rakyat ketika susah dan senang merupakan pilihan terbaik untuk membawa suara masyarakat ke peringkat yang lebih tinggi serta memastikan setiap permasalahan mendapat perhatian sewajarnya,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 9/7/2026

- Advertisement -