Bagaimana Tony Pua ada kaitan THiJARI Tabung Haji?

- Advertisement -

INI BUKAN soal siapa Cina, siapa Melayu atau siapa Islam. Ini soal Tabung Haji ialah institusi kewangan umat Islam.

Dan apabila kerajaan PH 2019 mentadbirnya, persoalan besar yang wajar ditanya ialah mengapa kerja pembangunan sistem digital TH diberikan kepada syarikat yang dimiliki kumpulan korporat asing?

Sedangkan Tabung Haji sendiri mempunyai kemampuan dan anak syarikat dalam bidang teknologi? Mengapa syarikat yang ada kaitan dengan Tony Pua pemimpin DAP mendapat kontrak itu?

Menurut dokumen dan laporan yang beredar, kontrak pembangunan serta penyelenggaraan THiJARI bernilai sekitar RM4.53 juta telah diberikan kepada Cyber Village Sdn Bhd pada 31 Disember 2019, ketika kerajaan PH masih berkuasa.

Cyber Village pula bukan syarikat yang berdiri sendiri. Ia merupakan anak syarikat milik penuh Silverlake Axis, sebuah kumpulan teknologi kewangan yang beribu pejabat di Singapura. Silverlake sendiri mengesahkan Cyber Village diambil alih pada 2013 dan menjadi anak syarikat kumpulan tersebut.

Di sinilah persoalan besar bermula. Mengapa kerajaan PH 2019 membenarkan sebuah institusi kewangan Islam yang mengurus simpanan jutaan umat Islam bergantung kepada syarikat dalam kumpulan korporat asing untuk pembangunan platform digitalnya?

Bukankah ketika itu Tabung Haji mempunyai Theta Edge Berhad, selain terdapat banyak syarikat teknologi tempatan yang mempunyai kepakaran membangunkan sistem digital dan kewangan?

Lebih menarik, Cyber Village mempunyai kaitan sejarah dengan Tony Pua Kiam Wee. Tony Pua ialah pengasas Cyber Village dan pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut.

- Advertisement -

Namun, perlu diperjelaskan bahawa beliau dilaporkan telah menjual kepentingannya dalam syarikat itu pada 2007, sebelum menyertai DAP dan jauh sebelum kontrak THiJARI pada 2019.

Jadi persoalannya bukan untuk mendakwa Tony Pua memiliki Cyber Village pada 2019. Persoalan yang lebih besar ialah mengapa kerajaan PH ketika itu membuat keputusan sedemikian?

Tony Pua pula pada 2018–2020 merupakan Ahli Parlimen Damansara dan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng.

Maka wajar ditanya, adakah kerajaan PH benar-benar mempunyai dasar yang jelas untuk melindungi ekosistem ekonomi dan teknologi institusi kewangan Islam?

Jika dahulu pemimpin PH begitu lantang membangkitkan isu keselamatan data dan penglibatan syarikat asing dalam sistem kerajaan, mengapa apabila melibatkan platform digital Tabung Haji, persoalan yang sama tidak diberikan perhatian yang setara?

Ini bukan soal menolak kepakaran bukan Islam. Ini soal keutamaan. Jika Tabung Haji mempunyai anak syarikat teknologi sendiri dan terdapat syarikat tempatan yang mampu melaksanakan projek tersebut, mengapa tidak diperkasakan mereka terlebih dahulu?

Jika syarikat luar dipilih kerana kepakaran teknikal, apakah justifikasi pemilihan itu? Apakah proses tendernya? Apakah kriteria penilaiannya? Apakah langkah perlindungan data pendeposit? Dan yang paling penting, siapa yang bertanggungjawab membuat keputusan tersebut?

Institusi kewangan Islam tidak sepatutnya sekadar menjadi tempat umat Islam menyimpan wang. Ia sepatutnya menjadi tonggak pembangunan ekonomi umat Islam, termasuk dalam bidang teknologi, data dan ekonomi digital.

Kerajaan boleh memilih syarikat bukan Islam jika prosesnya benar-benar telus, kompetitif dan berasaskan kepakaran. Tetapi apabila melibatkan data dan urusan kewangan jutaan pendeposit Tabung Haji, rakyat berhak bertanya,

Mengapa tidak diperkasakan syarikat Islam dan syarikat tempatan terlebih dahulu? Itulah persoalan sebenar. Bukan soal kaum. Bukan soal agama.

Tetapi soal keutamaan kerajaan, tadbir urus, kedaulatan data dan masa depan institusi ekonomi umat Islam.

Dr Mujahid Rawa wajib menjawab semua persoalan ini kerana mempunyai hubungan baik dengan Tony Pua. Adakah kerana DAP sebagai abang besar kepada PAN, maka budi baik DAP dibalas dengan mengorbankan kepentingan Tabung Haji?

DR KHALID HAMKA
Alor Setar, Kedah – HARAKAHDAILY 29/7/2026

Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/1EtRFh8qTa/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -