Gelombang penolakan terhadap PH di N9 dan serangan panik

- Advertisement -

RAKYAT Negeri Sembilan membilang hari, menghitung detik dengan sejuta harapan untuk meranapkan penguasaan Pakatan Harapan (PH) di negeri adat ini. Ini bukan fatamorgana, tapi tugu sebuah tekad!

Seminggu kempen telah berlalu dengan pantas, berbaki lagi seminggu bagi pemilih untuk menentukan nasib kerajaan Negeri Sembilan. Dalam minggu akhir ini, pelbagai serangan perang saraf untuk menggagalkan perubahan politik, digauli pelbagai isu untuk menyudutkan konfigurasi PN-BN ketepi.

Cytro dan avatar parti Pakatan Harapan seperti bersiaga 24 jam menahan amarah rakyat, mencipta persepsi dan merekayasa naratif penyelamatan kerajaan negeri yang kurang empat purnama genap tiga tahun memerintah. Tiada dalam sejarah tanah air ini, sebuah kerajaan yang menuai kebencian dahsyat daripada rakyat seperti mana yang kita lihat hari ini.

- Advertisement -

Asal muasalnya kerana mungkir janji serta konsisten bersilat lidah dalam melunaskan manifesto PRU-15. Pelbagai cuplikan video janji-janji diulang tayang kembali terutama nakhoda utama mereka, bergentayangan di media sosial mengundang rasa mual dan marah rakyat terbanyak.

Pakatan Harapan kali ini seperti terkena sumpahan langit, amarah rakyat tidak mampu terbendung lagi empangannya. Menggigit jari di negeri Sabah, tertampar malu di negeri Johor yang tenang, manakala unjuran pelbagai bilik strategik menunjukkan PH akan tersembam makan pasir di Negeri Sembilan. PRN Sabah, Johor, seterusnya di Negeri Sembilan dedak ditabur (istilah popular PMX  semasa menjadi pembangkang) gagal dalam menyihir rakyat, seperti kesan boomerang yang membaham tengkuk. Rakyat sudah tidak peduli dengan janji bulan bintang atau korupsi gotong royong atas nama inisiatif kerajaan untuk rakyat!

Bervariasi naratif gelap cuba dihidangkan kepada rakyat agar tidak menyokong konfigurasi PN-BN, seolah-olah negara tercinta ini selamanya tidak pernah ada dalam sejarahnya permuafakatan  berskala besar. Digegerkan mengenai perbedaan, diriuhkan mengenai ketidaksekufuan dan segala tampang gelap malah seorang tokoh kanan PAN mencanangkan mengenai nuansa perjuangan PN-BN sebagai assobiyyah. Ketakutan PH terhadap pemuafakatan ini sangat jelas, seolah menjadi dosa besar memperjuangkan nasib bangsa yang semakin terpuruk!

PAS bukanlah pemain baru dalam politik negara ini, usianya sudah 75 tahun. Perjalanannya panjang dan berliku, dimatangkan dengan ujian dan belantara tribulasi. Kekuatan dukungan kepada PAS di kawasan koridor Melayu memang terbukti, ribuan jentera PAS berkampung di Negeri Sembilan untuk membantu jentera tempatan.

Sebelum ini pada akhir 2018, usaha menyatukan orang Melayu Muslim digegerkan dengan usaha mengiktiraf ICERD oleh kerajaan PH dan bermulalah pelbagai usaha untuk merebakkan kesedaran umat Islam untuk bersatu dan mengukuhkan kekuatan ummah.

Dalam PRN kali ini pelbagai isu besar nasional dan tempatan perlu dijawab oleh Pakatan Harapan seperti isu kegagalan Tabung Haji, isu lambakan PATI, penjarahan tanah kerajaan di Negeri Sembilan dengan campur tangan parti berkuasa, kegagalan mengurus Kumpulan Wang Persaraan, penyalahgunaan jentera kerajaan dan seribu satu isu lagi. Ianya cerminan bahawa kerajaan PH tidak boleh memandang enteng suara dan nurani umat Islam di mana bangsa Melayu sebagai kaum teras di negara ini.

Kerajaan PH dilihat tidak mempunyai pimpinan yang berintegriti, tidak berwibawa dan kurang kompetensi untuk menyemai benih kerukunan negara. Lihatlah pak Menteri yang selalu menjadi stok bahan ketawa rakyat di media sosial, ini bukan suatu contoh yang baik bagi masa depan negara.

Konfigurasi PN-BN yang bernuansa penyatuan umat Islam ini berjaya menunjukkan kesepakatan dan diuruskan dengan persefahaman pilihan raya ini dengan baik. Bermula dengan dengan mesyuarat bersama di peringkat akar umbi, majlis penerangan di akar umbi, dengan kemuncaknya peluncuran manifesto bagi meletakkan garis pandu untuk menguruskan negeri ini. Jika tokoh-tokoh besar DAP bertempik dengan lidah bahasa ibunda mereka, kesatuan kaum Muslimin tampil untuk menolak Pakatan Harapan lebih bergaya. Ruang utama solat di masjid-masjid dengan mesej penyatuan menggema saat mereka bersalaman usai menunaikan solat berjemaah dan berdoa kepada Tuhan!

Langit Negeri Sembilan pasti tersenyum pada tanggal 1 Ogos ini melihat kebangkitan rakyat yang bermaruah. Insya-Allah, segalanya akan aman dan harmoni kerana rakyat hanya mahu Pakatan Harapan berundur kerana  terlalu gagal untuk menguruskan tanah leluhur yang Allah jadikan lumayan hasil bumi, subur tanahnya. Cukuplah dengan ungkapan muluk yang sentiasa meniti bibir, janji bulan bintang bagai. Kami tidak perlukan orator penyihir kata tetapi kami, rakyat perlukan kerajaan negeri yang kompeten, berpiawaian tinggi, menepati janji-janji mereka kepada pengundi!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 27/7/2026

- Advertisement -