Operasi di Flat PPR Paya Nahu bukan tindakan kejam

- Advertisement -

SUNGAI PETANI: Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Mejar (B) Mansor Zakaria menafikan, tindakan di Flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Paya Nahu sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan seperti didakwa pihak tertentu.

Kata beliau, operasi dilakukan Bahagian Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) itu bertujuan pemutihan berikutan masalah sosial dan kes binaan serta penghuni haram sangat tinggi di perumahan milik kerajaan itu.

- Advertisement -

“Ingin saya tegaskan bahawa PPR ni adalah bangunan kerajaan. Penghuni di sini adalah berstatus sementara atau transit. Usaha ini merupakan langkah proaktif untuk pemutihan ke arah lebih positif,” tegas beliau pada kenyataannya di sini.

Jelas Mansor, notis untuk merobohkan struktur binaan haram di flat berkenaan, telah diedarkan terlebih dahulu sebelum tindakan dibuat di mana memberi peluang pemilik binaan haram mengambil atau memunggah barangan hak milik mereka sebelum operasi dijalankan.

“Struktur binaan haram yang dirobohkan oleh pihak penguatkuasa SUK Perumahan, antaranya stor, bengkel, tempat jagaan ayam, anjing, burung dan lain-lain yang dibina di bangunan bawah.

“Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga telah mengenal pasti berlaku kecurian elektrik. Hasil pantauan, mereka mendapati berlaku kecurian elektrik di setiap bangunan. Setiap blok ada 16 penghuni, tetapi meter elektrik hanya empat sahaja. Selebihnya guna eletrik secara haram,” dedahnya.

Beliau yang turut hadir meninjau operasi pemutihan itu semalam, tidak menafikan operasi berkenaan mungkin menimbulkan kemarahan kepada kalangan terlibat, tetapi sebenarnya adil kepada penghuni lain.

Selain itu, pihak SUK Perumahan juga mengarahkan agar pemilik kenderaan tidak terpakai (rosak) yang diletakkan di bahagian parkir bangunan tersebut dialihkan dengan segera.

Jelas beliau juga menerima laporan hampir 80 peratus penyewa tidak membayar sewa bulanan, walaupun kadar sewa dikenakan hanya antara RM90 ke RM120 sahaja sebulan.

Sedangkan menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil tersebut, kutipan sewa tersebut akan digunakan kembali untuk senggaraan bangunan tersebut.

“PPR ini dahulunya terkenal dengan kawasan yang indikator denggi tertinggi dalam Daerah Kuala Muda. Kes sosial dan penghuni haram pun tinggi. Semoga semua usaha ini mampu mendidik serta mengembalikan masyarakat agar menghormati kemudahan yang diberi.

“Terima kasih juga kepada semua agensi kerajaan yang membantu melancarkan operasi itu,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 24/6/2026

- Advertisement -