
KOTA BHARU: Rakyat disaran memilih Kerajaan Persekutuan baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 bagi menggantikan kerajaan hari ini yang gagal mentadbir negara sehingga menyukarkan kehidupan rakyat.
Dato’ Rohani Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan hari ini dilihat kurang sensitif terhadap isu berkaitan Islam apabila campur tangan pihak tertentu dalam hal ehwal agama tidak ditangani secara tegas.
Katanya, tindakan Kerajaan Persekutuan yang hanya memberi alasan mahu menjalankan siasatan tanpa mengambil tindakan segera terhadap isu operasi sebuah sekolah di Forest City, Johor menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat.
Menurutnya, isu operasi sekolah berkenaan yang akhirnya ditutup oleh Kerajaan Negeri Johor, sepatutnya diberikan perhatian lebih awal dan bukannya selepas ia menjadi perhatian umum.

“Jangan sekadar mengatakan mahu menyiasat tanpa tindakan. Sukar untuk kita percaya (bahawa) kerajaan langsung tidak mengetahui perkara tersebut.
“Pada masa sama, campur tangan pihak tertentu dalam hal ehwal Islam banyak dibisukan oleh pemimpin kerajaan sehingga rakyat melihat mereka tidak begitu sensitif terhadap perkara itu.
“Saya berharap agensi-agensi Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani perkara berkenaan,” kata Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) itu.
Beliau berucap demikian pada Majlis Sarapan Pagi di Kedai Kopi bersama Assabiqun dan Assabiqat DUN Tanjong Mas di sebuah kedai makan, di sini semalam.
Pada majlis sama, Rohani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Mas berkata, Kelantan kini mempunyai lebih 55,000 golongan armalah berdaftar di seluruh negeri.
Terangnya,*sebahagian besar daripada mereka telah menerima bantuan Kerajaan Negeri menerusi pelbagai bentuk sumbangan kebajikan.
“Armalah merupakan antara golongan yang doanya sangat dimuliakan dan diterima Allah SWT. Apa yang dinikmati Kelantan hari ini adalah hasil keberkatan daripada Allah SWT, mungkin melalui doa-doa mereka,” katanya lagi.
Tambahnya, Kerajaan Negeri turut mengagihkan 300 kampit beras seberat 10 kilogram secara percuma di setiap DUN kepada golongan berpendapatan rendah yang memerlukan termasuk golongan armalah.
Katanya, pelbagai bantuan lain turut disediakan antaranya bantuan usahawan, bantuan kepada penerima Skim Kifaalah serta anak-anak yatim selaras dengan dasar Kelantan sebagai sebuah negeri berkebajikan.
Menurutnya, usaha berterusan itu membuktikan Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang.
Seramai 50 ahli Assabiqun dan Assabiqat diraikan pada program santai itu sebagai usaha mengeratkan hubungan serta menyantuni golongan berkenaan.
Kongsinya, ketika ini rakyat di Negeri Sembilan bakal berhadapan Pilihan Raya Negeri.
“Kita berharap mereka akan membuat pilihan yang baik dengan memilih calon PERIKATAN NASIONAL dan BN pada hari mengundi nanti,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/7/2026











