‘Gelombang Hijau’ momokan DAP jadi senjata makan tuan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Tindakan DAP terus memainkan naratif ‘gelombang hijau’ untuk menakut-nakutkan pengundi bukan-Islam terhadap PAS disifatkan sebagai senjata makan tuan yang akhirnya memakan diri sendiri.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tindakan berterusan memainkan isu tersebut tidak lagi memberi kesan seperti diharapkan kerana rakyat semakin matang dan mampu menilai keadaan sebenar.

- Advertisement -

Menurut beliau, dakwaan kononnya PAS membawa ancaman kepada masyarakat bukan-Islam bercanggah dengan realiti yang berlaku di negeri-negeri ditadbir parti itu.

“DAP menggunakan isu gelombang hijau sebagai serangan politik untuk menakutkan orang bukan-Islam, khususnya kaum Cina dan India termasuk Bumiputera Sabah dan Sarawak.

“Apa yang berlaku ialah ia sudah menjadi darah daging dalam negara kita. Orang Melayu hidup dalam keadaan aman dan damai bersama masyarakat pelbagai kaum serta penganut agama lain. Itulah sebenarnya keistimewaan bangsa Melayu berbanding bangsa-bangsa lain.

“Jika dibandingkan dengan negara-negara jiran, contohnya orang Cina di Thailand dan Indonesia, mereka tidak mendapat hak yang sama seperti dinikmati oleh masyarakat Cina dan India di negara kita. Begitu juga apa yang berlaku secara praktikal di negeri-negeri yang diperintah PAS.

“Kalau PAS ini mengajak kepada penyisihan kaum dan bangsa lain, sudah tentulah kaum Cina dan India akan disisihkan di negeri Kelantan. Namun perkara itu tidak berlaku. Sebaliknya, mereka diberikan hak dan dilayan dengan seadilnya,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri berkata demikian ketika mengulas dakwaan berhubung ‘gelombang hijau’ yang dijangka terus menjadi antara isu utama Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pada masa sama beliau berkata, tindakan DAP memainkan sentimen berkenaan menunjukkan sikap yang tidak patriotik kerana cuba menimbulkan Islamofobia terhadap PAS dalam kalangan masyarakat bukan-Islam.

“Saya percaya rakyat dan pengundi pandai menilai serta cukup cerdik untuk membezakan antara kaca dan permata. Perkara itu telah dibuktikan di Sabah apabila hampir semua calon PH tewas kecuali satu kerusi sahaja, walaupun mereka bertanding di banyak kawasan.

“Di Johor juga keadaan yang sama berlaku apabila DAP mengalami kekalahan yang teruk. Negeri Sembilan pula, insya-Allah, akan menjadi satu referendum rakyat sama ada mereka menyokong agenda Penyatuan Ummah atau menolak politik ekstrem dibawa oleh DAP,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan pada hari terakhir kempen PRN Johor, DAP-PH kembali kepada senjata lama menakutkan pengundi dengan naratif ‘gelombang hijau’.

Menurut pemerhati politik, Dr Mukhtaruddin Musa, istilah itu digunakan berulang kali untuk menggambarkan PAS dan Perikatan Nasional (PN) seolah-olah ancaman kepada masyarakat bukan-Melayu, kebebasan beragama dan masa depan Malaysia yang majmuk.

Strategi ini bukan baharu di mana dalam PRN 2023, naratif yang sama pernah digunakan secara agresif untuk mengekang sokongan kepada PAS dan PN.

Ia dibina atas satu gambaran mudah iaitu jika PAS menang, maka masyarakat bukan-Islam akan terancam. – HARAKAHDAILY 22/7/2026

- Advertisement -