
REMBAU: Ketua Penerangan Umno DUN Paroi, Ustaz Zulkifli Muhammad menyatakan sokongan penuh pihaknya kepada calon PERIKATAN NASIONAL(PN) bagi kerusi N.25 Paroi, Kamarol Ridzuan Md Zin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan ketetapan pucuk pimpinan berhubung formula kerjasama di Negeri Sembilan, sekali gus menafikan tohmahan kononnya berlaku unsur sabotaj dalam kalangan ahli Umno di kawasan berkenaan.
“Hari ini saya tampil di hadapan semua bersama rakan rakan untuk menyatakan bahawa tidak ada calon lain yang akan kami undi pada 1 Ogos selain calon nombor tiga daripada PERIKATAN NASIONAL,” katanya ketika berucap pada Ceramah PRN di Kampung Paroi, di sini.
Menurut Zulkifli, tuduhan bahawa beliau dan jentera Umno Paroi berpaling tadah atau mensabotaj parti hanyalah fitnah yang dimainkan pihak tertentu.
“Selepas menerima keputusan pucuk pimpinan, kami terus mengubah strategi dan turun semula ke akar umbi bagi memberi penjelasan kepada ahli serta penyokong mengenai keputusan tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata, DUN Paroi merupakan kawasan yang mempunyai jumlah pengundi paling ramai di Negeri Sembilan dengan seramai 64,717 pengundi setakat Februari lalu, sekali gus menjadikannya antara kerusi paling penting dalam PRN kali ini.
Katanya, Umno DUN Paroi telah memulakan gerak kerja sebaik Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 5 Jun lalu dengan menganjurkan kira-kira 30 hingga 40 siri ceramah dan program penerangan di seluruh kawasan.
Menurutnya, Umno DUN Paroi mempunyai 43 cawangan, selain 37 cawangan Wanita serta 30 cawangan Pemuda dan Puteri yang digerakkan bagi mendekati pengundi.
Dalam siri penerangan itu, beliau berkata, pihaknya menjelaskan pelbagai isu yang gagal ditunaikan oleh Pakatan Harapan (PH), termasuk janji menghapuskan tol sehingga kini tidak dilaksanakan, malah tempoh konsesi lebuh raya pula dilanjutkan sehingga tahun 2068.
“Kita turun bertemu rakyat supaya Negeri Sembilan tidak lagi terperangkap dengan janji janji kosong dan kata kata manis,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebaik pembahagian kerusi dimuktamadkan, pimpinan Umno Paroi mengadakan pertemuan dengan pimpinan PAS serta calon PN bagi menyelaras gerak kerja kempen.
Menurutnya, Umno Paroi kini bersedia menyertai setiap gerak kerja kempen bersama PN bagi memastikan sokongan penyokong Umno diterjemahkan kepada kemenangan calon PN di kerusi Paroi.
Beliau menyifatkan PRN Negeri Sembilan sebagai medan penting untuk mengambil alih pentadbiran negeri daripada Pakatan Harapan (PH).
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada PN yang memberi ruang kepada Umno bertanding di 16 kerusi, iaitu pertambahan dua kerusi berbanding 14 kerusi dimenangi sebelum ini.
Beliau turut merujuk kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menyatakan sokongan agar jawatan Menteri Besar diberikan kepada wakil Umno sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri.
“Marilah kita ketepikan segala perbezaan dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada baki tempoh kempen bagi memastikan kemenangan calon PN di Paroi serta menumbangkan kerajaan PH di Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau kemudian memimpin bacaan doa memohon kekuatan, kesatuan dan kemenangan buat gabungan itu pada hari pengundian nanti. – HARAKAHDAILY 22/7/2026











