
SEREMBAN: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan proses kelulusan pelaburan bernilai RM200 juta oleh Kumpulan Wang Amanah Pekerja (KWAP) dalam sebuah syarikat permulaan (start-up) di Indonesia, eFishery.
Beliau berkata, perkara itu menimbulkan persoalan terhadap proses semakan dan kelulusan pelaburan berkenaan selepas KWAP dilaporkan mengalami kerugian membabitkan jumlah tersebut.
Menurutnya, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini sering menggambarkan keupayaan mereka dalam mentadbir negara, termasuk mempunyai Menteri Kewangan terbaik di Asia Tenggara.
“Hari ini Kerajaan Pakatan Harapan seolah-olah mendakwa mereka sangat mahir mentadbir negara. Kita ditadbir oleh seorang Menteri Kewangan terbaik di Asia Tenggara.
“Tetapi yang terbaru bagaimana pelaburan KWAP, Kumpulan Wang Amanah Pekerja yang mengumpulkan duit pencen kita telah rugi RM200 juta,” persoalnya.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata demikian dalam satu ceramah kelompok di Unit Daerah Mengundi (UDM) Jiboi dalam DUN Ampangan, di sini malam tadi.
Menurut Ahmad Fadhli, eFishery merupakan sebuah syarikat permulaan dari Indonesia yang menghasilkan peralatan berkaitan pemberian makanan automatik kepada ikan ternakan dalam kolam.
“Ini syarikat ‘start-up’ yang telah dibina di Indonesia tetapi alatnya itu menarik minat pelabur-pelabur yang besar. Antaranya ialah Temasek di Singapura, antaranya ialah pelabur-pelabur daripada Eropah,” ujarnya.
Bagaimanapun, Ahmad Fadhli menyatakan, pelaburan KWAP berjumlah RM200 juta itu akhirnya mengalami kerugian selepas syarikat berkenaan didakwa terbabit dalam penipuan.
“Kita melabur menggunakan Kumpulan Wang Amanah Pekerja (sebanyak) RM200 juta. Rupa-rupanya ia merupakan satu ‘scam’ daripada syarikat tersebut,” ulas beliau.
Ahmad Fadhli menyatakan, syarikat berkenaan menggunakan invois palsu sehingga menyebabkan juruaudit antarabangsa mengeluarkan perakuan yang tidak menepati keadaan sebenar.
“Perbelanjaan, invois, dia buat invois palsu. Dia tipu juruaudit bertauliah peringkat antarabangsa sehingga juruaudit-juruaudit ini mengeluarkan perakuan dan kredit yang tidak menepati perkara sebenar.
“Kerana apa? Kerana ditipu oleh syarikat tersebut. Kita melabur dan kita rugi RM200 juta, lenyap wang daripada Kumpulan Wang Amanah Pekerja,” kesalnya.
Ahmad Fadhli turut mempersoalkan jawapan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Dewan Negara, berhubung kerugian berkenaan yang menyatakan pihak lain mengalami kerugian lebih besar.
“Ini bukan jawapan sebagai seorang Perdana Menteri. Negara ini bukan negara Pak Pandir yang kata tak apa anak kita mati, orang lain pun anak mati juga.
“Dia ini Perdana Menteri, Menteri Kewangan terbaik di Asia Tenggara. Kenapa perkara ini boleh berlaku?” persoalnya menyifatkan alasan sedemikian tidak sepatutnya diberikan oleh seorang Perdana Menteri.
Persoal proses kelulusan
Ahmad Fadhli turut menegaskan bahawa pelaburan bernilai RM200 juta seperti itu sepatutnya melalui pelbagai proses penilaian sebelum diluluskan.
Beliau mempersoalkan sama ada cadangan pelaburan tersebut dibentangkan dalam Kabinet memandangkan nilai pelaburan yang besar.
“Dalam amalan kita berkerajaan, kita ada nilai-nilai tertentu. Nilai ini di pelaburan sebanyak ini diluluskan oleh ‘board of director’. Contoh, nilai atas lagi ditentukan pula kalau kerajaan negeri, oleh EXCO Kerajaan Negeri.
“Kalau RM200 juta, soalan saya adakah kertas pelaburan cadangan ini tidak dibentangkan dalam Kabinet dengan nilaian yang sangat tinggi, RM200 juta?” soalnya.
Menurut beliau, keadaan itu menunjukkan kemungkinan terdapat kelemahan dalam proses meluluskan pelaburan berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Fadhli turut membandingkan kerugian RM200 juta itu dengan isu peruntukan Ahli Parlimen pembangkang PERIKATAN NASIONAL (PN).
Beliau menegaskan, Ahli Parlimen PN dinafikan peruntukan sebanyak RM3 juta setahun yang menurutnya digunakan untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing.
“Kami Ahli-ahli Parlimen PN dinafikan hak peruntukan sebagai Ahli Parlimen. Berapa? RM3 juta setahun?
“RM3 juta inilah yang kita hendak bantu orang kampung tukar zink kalau rosak, kita bantu orang kampung bina sedikit jalan, tambun batu dan sebagainya,” kesalnya.
Ahmad Fadhli memaklumkan, penolakan peruntukan tersebut melibatkan 65 Ahli Parlimen PN.
Beliau mempersoalkan tindakan kerajaan yang menurutnya mahu menjimatkan perbelanjaan melalui penafian peruntukan berkenaan, tetapi pada masa sama berdepan kerugian pelaburan besar.
“Sama dengan RM200 juta setahun, kamu nafikan hak peruntukan ini, kamu rasa ia menjimatkan perbelanjaan rakyat. Allah Taala tarik dengan kamu ditipu RM200 juta begitu sahaja di Indonesia.
“Menunjukkan apa? Menunjukkan kerajaan tidak cerdik sangat pun. Jadi apa yang kita nak harapkan daripada kerajaan yang telah menghilangkan duit RM200 juta ini?
“Itu belum kita campur pelbagai isu-isu yang melibatkan integriti, rasuah yang didakwa oleh Bloomberg yang sampai ke hari ini tidak disaman oleh PMX itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2026











