
KUALA LUMPUR: Pengerusi Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) perlu direhatkan sementara bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung isu pelaburan dana persaraan negara dalam syarikat eFishery yang mengakibatkan kerugian RM163.4 juta.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, satu siasatan bebas dan telus perlu dilaksanakan terhadap keseluruhan proses pelaburan tersebut bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenal pasti.
Beliau menegaskan, isu berkenaan bukan sekadar berkaitan pelaburan, sebaliknya melibatkan kepercayaan rakyat terhadap pengurusan wang persaraan negara.
“Pemuda PAS Malaysia memandang serius isu pelaburan KWAP dalam syarikat eFishery yang mengakibatkan dana persaraan negara berdepan kerugian berjumlah RM163.4 juta.
“Kehilangan RM163.4 juta bukan sekadar isu pelaburan, tetapi isu kepercayaan rakyat terhadap pengurusan wang persaraan negara.
Tiada siapa yang boleh terlepas daripada dipertanggungjawabkan,” ujar Ahli Parlimen Alor Setar itu dalam satu kenyataan.
Afnan Hamimi turut menggesa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan atas kegagalan memastikan tadbir urus institusi kewangan negara berada pada tahap sewajarnya.
Menurut beliau, kenyataan Perdana Menteri di Dewan Negara yang sekadar menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan tidak memenuhi tuntutan rakyat.
“Kenyataan Perdana Menteri di Dewan Negara yang sekadar menggesa SPRM menjalankan siasatan amat mengecewakan.
“Rakyat tidak hanya mahukan siasatan, tetapi mahu mengetahui siapa yang bertanggungjawab meluluskan pelaburan tersebut dan bagaimana proses tadbir urus KWAP boleh gagal sehingga dana rakyat terdedah kepada penipuan,” jelasnya.
Beliau berkata, alasan bahawa KWAP masih mencatat keuntungan berbilion ringgit tidak boleh dijadikan alasan untuk memperkecilkan kehilangan dana berkenaan.
Menurutnya, setiap ringgit dana persaraan adalah amanah kepada rakyat dan tidak boleh dipandang ringan di mana sebagai Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar tidak boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab politik.
“Beliau mesti tampil memberi penjelasan yang menyeluruh, bukannya sekadar memberikan jawapan bersifat teknikal,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2026











