
KUALA TERENGGANU: Kerjasama antara PAS dan Umno bukan sekadar strategi menghadapi pilihan raya, sebaliknya dilihat sebagai keperluan untuk menyelamatkan negara dalam berdepan cabaran politik semasa.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perkembangan politik ketika ini menuntut semua pihak yang berkongsi matlamat mempertahankan kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera untuk berganding bahu.
Menurut beliau, PAS sejak awal konsisten memperjuangkan Islam dan kepentingan tanah air, justeru usaha memperkukuh hubungan dengan Umno perlu dilihat dalam kerangka yang lebih besar.
“Politik ini sifatnya dinamik dan berubah mengikut masa dan keadaan. Dalam konteks semasa, PAS adalah sebuah parti yang konsisten dalam memperjuangkan Islam dan tanah air.
“Kita melihat situasi politik semasa sangat membimbangkan khususnya dalam konteks kerajaan PH pada hari ini yang didominasi oleh DAP.
“Kita semua maklum, DAP sebuah parti yang mempunyai ideologi yang sangat jauh daripada semangat Perlembagaan Negara seperti Islam agama negara, hak Melayu Bumiputera dan lain-lain lagi. DAP (pula) memperjuangkan negara sekulepar dan kesamarataan semua kaum dan bangsa.
“Penyatuan Ummah yang kita bawa bukan hanya melibatkan PAS dan Umno, tetapi turut mengajak parti-parti Melayu lain, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang mempunyai matlamat yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Negeri Terengganu di TER Kuala Ibai, di sini hari ini.
Menurut Khalil, kerjasama yang terjalin dalam PRN Johor menunjukkan perkembangan positif apabila kedua-dua parti berjaya menyelaraskan pembahagian kerusi serta gerak kerja kempen.
Katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, pengalaman itu menjadi petunjuk bahawa hubungan antara dua parti terbesar orang Melayu mampu diperkukuhkan lagi pada masa akan datang.
“Saya melihat respons daripada kedua-dua pihak sangat baik. Penyelarasan kerusi berjalan lancar dan kempen juga dilaksanakan dengan semangat kerjasama yang tinggi.
“Perkembangan ini memberi keyakinan bahawa hubungan tersebut boleh menjadi lebih baik, termasuk sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa Penyatuan Ummah mempunyai unsur perkauman, beliau menolak tanggapan itu dan menegaskan usaha tersebut berpaksikan kepada perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, matlamat utama adalah memastikan asas negara terus dipertahankan melalui kepimpinan yang memahami kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera.
Dalam pada itu, Khalil turut menggesa pengundi di Negeri Sembilan memberikan sokongan kepada calon yang mewakili kerjasama tersebut tanpa mengira parti yang bertanding.
“Di kawasan yang ditandingi PN, undilah PN. Di kawasan yang ditandingi BN, undilah BN. Yang penting ialah semangat kerjasama untuk mencapai matlamat bersama,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, memaklumkan wujud persefahaman antara PN dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau berkata, perkara itu turut dibayangkan oleh Timbalan Pengerusi BN, Dato’ Seri Mohamad Hasan, ketika pengumuman calon BN pada 15 Julai lalu apabila menyebut mengenai kerjasama dengan ‘rakan yang baik’ dalam menghadapi pilihan raya berkenaan.
Menerusi persefahaman itu, BN bertanding di 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, manakala PN bertanding di 11 kerusi. – HARAKAHDAILY 21/7/2026











