
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menyifatkan angka ‘23’ yang digunakan DAP dalam kempen PRN Negeri Sembilan lebih berpotensi menjadi simbol kemenangan PN dan BN, bukannya PH.
Beliau berkata, iklan DAP yang hanya memaparkan angka ‘8123’ di beberapa akhbar berbahasa Cina telah mencetuskan pelbagai spekulasi sebelum Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menjelaskan ia membawa maksud ‘1 Ogos, undi PH, menang 23 kerusi’.
Menurut Mohd Syahir yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS, beliau tidak pasti daripada mana datangnya keyakinan Anthony Loke sehingga membuat unjuran sedemikian itu.
“Mungkin beliau menerima maklumat yang kurang tepat, gagal membaca isyarat di lapangan atau sekadar mempertaruhkan nasib. Berdasarkan pemerhatian dan perkembangan semasa, telahan saya adalah sebaliknya.
“Iaitu angka ‘23’ lebih berpotensi menjadi jumlah kerusi yang dimenangi PN-BN (Perikatan Nasional-Barisan Nasional),” ujarnya mengulas kempen Pakatan Harapan (PH) oleh DAP itu.
Beliau berkata, persefahaman antara PN dan BN untuk mengelakkan pertindihan kerusi membuka peluang cerah mempertahankan 19 kerusi penyandang, iaitu 14 milik BN dan lima milik PN.
Kata Syahir yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS, gabungan PN dan BN itu juga berpotensi merampas empat kerusi marginal dikuasai PH iaitu Sikamat, Ampangan, Pilah dan Klawang.
“Jika momentum ini berterusan, sasaran memenangi 23 kerusi majoriti Melayu di Negeri Sembilan bukanlah sesuatu yang mustahil, didorong oleh formula Penyatuan Ummah yang semakin diterima, insya-Allah,” jelasnya.
Syahir berkata, angka 23 juga cukup signifikan kerana hanya kurang satu kerusi untuk membolehkan PN-BN memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
Menurutnya, sasaran itu boleh dicapai sekiranya MCA, MIC, GERAKAN dan MIPP berjaya menembusi sebahagian daripada 13 kerusi majoriti bukan-Melayu yang dimenangi PH pada pilihan raya lalu.
“Saya lebih optimis dengan unjuran ini di pihak PN-BN, iaitu ‘23’ atau majoriti dua pertiga,” ujarnya menghormati permainan angka yang digunakan DAP adalah hak parti itu.
Namun katanya, umat Islam tidak diajar untuk bermain nombor atau mempertaruhkan nasib.
“Kita dituntut untuk berusaha, berusaha dan terus berusaha, kemudian menyerahkan segalanya kepada Tuhan Yang Maha Kuasa,” katanya yang turut menitipkan pesanan kepada Anthony Loke dengan berkata, “Be careful what you wish for”.
Semalam, DAP menyiarkan iklan di beberapa akhbar berbahasa Cina yang hanya menampilkan empat nombor ‘8123’.
Perkara ini mencetuskan perbualan hangat dengan pelbagai andaian oleh orang ramai, malah ada menjadikan gabungan nombor itu sebagai ‘nombor panas’ untuk taruhan nombor ekor 4D. – HARAKAHDAILY 21/7/2026











