
KUALA LUMPUR: PAS memandang serius rentetan insiden tragis dan kes salah laku yang terus berulang di institusi pendidikan negara, sekali gus mendesak Kerajaan Persekutuan agar tidak lagi bertindak secara reaktif.
Naib Presiden PAS Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ (Dr.) Mohd Amar Abdullah sebaliknya menggesa Kerajaan Persekutuan melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap sistem pendidikan nasional.
Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat berkata, sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak menimba ilmu dan membina masa depan.
Namun menurut beliau, kemunculan pelbagai insiden kebelakangan ini membuktikan bahawa isu keselamatan, adab, dan kesejahteraan murid di sekolah telah menjadi satu krisis sistemik yang memerlukan penyelesaian di peringkat akar umbi.
“Apabila insiden demi insiden terus berulang, yang perlu dipersoalkan bukan lagi sejauh mana kita bertindak selepas tragedi berlaku, tetapi sejauh mana sistem pendidikan kita benar-benar berjaya membentuk manusia.
“PAS memandang serius rentetan insiden yang berlaku di institusi pendidikan negara sejak kebelakangan ini. Walaupun setiap kes mempunyai latar belakang yang berbeza dan sebahagiannya masih dalam siasatan pihak berkuasa.
“Hakikat bahawa pelbagai insiden terus berulang menunjukkan sudah tiba masanya kerajaan melihat isu ini sebagai krisis sistemik, bukannya sekadar kes-kes terpencil,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau turut menegaskan bahawa negara tidak boleh terus bergantung kepada pendekatan sementara seperti mengeluarkan pekeliling baharu atau tindakan disiplin hanya selepas sesuatu tragedi meragut nyawa atau mencederakan pelajar berlaku.
“Apa yang diperlukan ialah reformasi menyeluruh terhadap falsafah, hala tuju dan keutamaan sistem pendidikan negara. Selepas hampir 40 tahun pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (1988), sudah tiba masanya negara melakukan penilaian secara objektif.
“(Iaitu) terhadap keberkesanannya dalam melahirkan insan yang benar-benar seimbang sebagaimana yang dicita-citakan. Persoalan yang perlu dijawab ialah sama ada sistem pendidikan hari ini benar-benar berjaya membentuk generasi?
“(Iaitu) yang berilmu, beradab, berintegriti, mempunyai kesejahteraan emosi dan mampu hidup sebagai warganegara yang bertanggungjawab,” ujar beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan.
Sehubungan itu, PAS mengemukakan empat tuntutan utama kepada Kerajaan Persekutuan demi merestrukturisasi landskap pendidikan negara bermula dengan enubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) Mengenai Masa Depan Pendidikan Malaysia.
Jelas Dato’ Mohd Amar, ia bagi mengkaji semula falsafah, struktur, tadbir urus dan hala tuju pendidikan negara serta merangka Pelan Induk Pendidikan Nasional untuk beberapa dekad akan datang.
Juga gesanya, menjadikan Dasar Pendidikan Rabbani sebagai kerangka dasar pendidikan nasional yang memperkukuh pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan memberi penekanan kepada pembinaan insan, adab, integriti, kesejahteraan mental, kepimpinan dan tanggungjawab sosial sebagai teras sistem pendidikan.
Beliau juga mengesyorkan, penubuhan Jawatankuasa Khas Keselamatan dan Kesejahteraan Murid di peringkat kebangsaan bagi menyelaras dasar, membangunkan sistem amaran awal, memantau risiko keselamatan serta memastikan setiap sekolah benar-benar menjadi ruang yang selamat dan kondusif untuk pembelajaran.
“Melaksanakan Indeks Sekolah Rabbani sebagai instrumen penilaian nasional yang mengukur kecemerlangan sekolah secara menyeluruh berdasarkan aspek keselamatan, kesejahteraan murid, akhlak, integriti, kepimpinan, penglibatan ibu bapa dan komuniti, di samping pencapaian akademik,” ujarnya.
Mengulas penanda aras kecemerlangan sekolah beliau berkata, ukuran kejayaan sesebuah sistem tidak seharusnya dinilai melalui pencapaian akademik semata-mata.
“PAS percaya bahawa ukuran kejayaan sesebuah sistem pendidikan bukanlah semata-mata bilangan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang, tetapi sejauh mana sekolah berjaya melahirkan manusia yang beriman, berakhlak, berdisiplin, menghormati nyawa, mempunyai empati, berfikiran waras dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
“Malaysia tidak memerlukan reformasi yang hanya menukar kurikulum, peperiksaan atau istilah pentadbiran semata-mata, tetapi memerlukan reformasi falsafah pendidikan dan hala tuju yang mengembalikan pembentukan insan sebagai matlamat utama pendidikan negara.
“PAS akan terus konsisten memperjuangkan sistem pendidikan yang berteraskan wahyu, memuliakan ilmu, mengangkat adab dan melahirkan insan rabbani sebagai asas pembinaan sebuah Malaysia yang aman, maju, berintegriti dan diberkati Allah SWT,” tegasnya.
Insiden tragis di sekolah (Jun dan Julai 2026)
Desakan bagi mengkaji semula sistem keselamatan dan moral di sekolah ini tercetus susulan siri insiden tragis, kes jenayah, kemalangan, serta salah laku disiplin yang merebak di pelbagai negeri pada Jun dan Julai 2026 sahaja:
Kes tikaman dan jenayah berat: Pada 6 Julai 2026, seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 di Banting, Selangor, menderita 16 luka tikaman serta paru-paru ditembusi selepas dipercayai ditikam rakan sekelas perempuannya di kawasan sekolah. Suspek telah ditahan polis manakala mangsa dirawat di hospital.
Insiden jatuh bangunan sekolah: Beberapa kes berdarah melibatkan murid jatuh dari bangunan sekolah direkodkan, antaranya di Sendayan, Negeri Sembilan (19 Jun 2026) yang mengorbankan seorang pelajar perempuan Tingkatan 4. Kejadian serupa turut berlaku di Ipoh, Perak (22 Jun 2026) mendatangkan kecederaan kritikal kepada pelajar lelaki 13 tahun, manakala di Padang Terap, Kedah (6 Julai 2026), seorang murid Tahun 5 cedera akibat terjatuh dari tingkat tiga ketika cuba menangkap burung merpati pada waktu kelas KAFA.
Kematian mengejut: Pada 9 Julai 2026, seorang pelajar Tingkatan 6 berusia 18 tahun di Sekolah Menengah Tinggi Melaka meninggal dunia selepas rebah sewaktu sesi orientasi kokurikulum, yang mana hasil bedah siasat mengesahkan ia berpunca daripada masalah kesihatan jantung (Coronary Artery Anomalies).
Kes buli dan pergaduhan murid: Isu buli fizikal turut tular melibatkan murid perempuan berusia 10 tahun yang dipukul di asrama sekolah di Tenom, Sabah pada 11 Jun 2026, serta penahanan enam pelajar Tingkatan 5 MRSM Muar, Johor kerana membuli pelajar Tingkatan 2. Selain itu, insiden pergaduhan murid di luar premis sekolah turut dilaporkan berlaku di Tawau, Sabah pada 16 Julai 2026, yang kini berada dalam siasatan polis dan pihak sekolah. – HARAKAHDAILY 22/7/2026











