
KUALA LUMPUR: Rejim Israel berterusan melancarkan serangan ke atas rakyat Palestin menjadikan pengisytiharan gencatan senjata di lapangan sebagai satu falasi dan pengkhianatan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, hakikat yang berlaku di bumi Palestin ketika ini menunjukkan rundingan damai gagal membawa keamanan apabila nyawa orang awam, khususnya wanita dan kanak-kanak, terus menjadi mangsa.
Beliau meluahkan rasa kesal berhubung insiden terbaharu di Kem Pelarian Nuseirat yang menyaksikan sekurang-kurangnya tujuh orang dilaporkan terbunuh ketika mengiringi satu jenazah, selain puluhan lagi mengalami kecederaan.
“Sekiranya laporan ini disahkan, serangan terhadap majlis pengebumian merupakan satu pencabulan yang amat serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa, sekali gus mencemari penghormatan terhadap orang mati dan keselamatan orang awam.
“Lebih membimbangkan ialah laporan serta kes yang terus muncul mengenai penderaan terhadap tahanan wanita Palestin, termasuk keganasan seksual dan rogol terhadap tahanan wanita.
“Ia bukan sekadar pelanggaran undang-undang antarabangsa, bahkan merupakan jenayah yang mencabul maruah wanita dan nilai kemanusiaan sejagat,” katanya Pengerusi Lajnah Antarabangsa Muslimat PAS Malaysia itu.
Dato’ Mumtaz turut menyoroti penderitaan fizikal, psikologi dan emosi terpaksa ditanggung oleh wanita Palestin yang dibebaskan daripada tahanan, di samping ancaman bahaya sentiasa mengekor petugas perubatan, wartawan dan pekerja kemanusiaan.
“Hari ini, trauma rakyat Palestin bukan lagi sekadar kehilangan ahli keluarga akibat peperangan. Ramai wanita yang dibebaskan daripada tahanan terpaksa menanggung penderitaan fizikal, psikologi dan emosi yang berpanjangan, manakala anak-anak serta keluarga mereka turut menanggung kesan trauma yang sukar dipulihkan.
“Dalam masa yang sama, petugas perubatan, wartawan dan pekerja kemanusiaan yang dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa terus dilaporkan menjadi sasaran ketika melaksanakan tanggungjawab mereka,” ujarnya.
Membangkang kebisuan komuniti global, beliau mempersoalkan keberkesanan retorik hak asasi manusia yang disifatkan berat sebelah dan gagal memberikan perlindungan saksama kepada wanita Palestin.
“Apabila orang awam terus dibunuh, majlis pengebumian menjadi sasaran serangan, petugas perubatan dan wartawan diserang, serta tahanan wanita didakwa menjadi mangsa penderaan dan keganasan seksual, apakah lagi nilai rundingan dan gencatan senjata?
“Tanpa pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa, gencatan senjata hanyalah slogan politik yang gagal melindungi nyawa manusia.
“Di manakah Hak Asasi Manusia untuk Wanita Palestin? Ketika wanita Palestin ditahan, dibunuh, dipenjarakan tanpa proses perundangan yang adil, dipisahkan daripada anak-anak, dinafikan rawatan dan berdepan laporan serta dakwaan penderaan seksual.
“Dunia terus melaungkan perjuangan hak asasi manusia, namun gagal mempertahankannya apabila mangsanya ialah wanita Palestin. Hak asasi manusia tidak boleh bersifat terpilih. Maruah seorang wanita Palestin tidak kurang nilainya daripada mana-mana wanita lain di dunia.
“Keadilan tidak boleh bergantung kepada bangsa, agama atau kepentingan geopolitik. Kegagalan melindungi wanita Palestin merupakan kegagalan sistem hak asasi manusia antarabangsa itu sendiri,” tegas beliau.
Sehubungan itu, beliau mendesak pelbagai badan antarabangsa untuk menamatkan _‘impunity’_ atau kekebalan undang-undang yang dinikmati rejim Zionis.
Mesej tegas itu ditujukannya kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dan ASEAN.
“Setiap dakwaan jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan keganasan seksual dalam konflik bersenjata hendaklah disiasat secara bebas dan telus, manakala pelakunya mesti dibawa ke muka pengadilan tanpa sebarang pengecualian.
“Dunia tidak memerlukan lebih banyak retorik mengenai keamanan. Dunia memerlukan keberanian untuk menegakkan keadilan. Selagi wanita, kanak-kanak dan orang awam Palestin terus menjadi mangsa, selagi itulah setiap dakwaan mengenai keamanan dan hak asasi manusia akan dipersoalkan kredibilitinya.
“Keamanan sebenar hanya akan lahir apabila keadilan ditegakkan dan maruah setiap insan dihormati tanpa mengira siapa mereka. Darah dan Maruah kini sama2 dilanyak lumat dan kita masyarakat dunia masih lagi bertabah tanpa arah.
“Di manakah Mu’tasim zaman ini? Saat wanita Palestin dipermalukan, kanak-kanak dibunuh, orang awam terus menjadi sasaran, dan maruah manusia diinjak, dunia sekadar menyaksikan.
“Umat tidak hanya memerlukan simpati, tetapi kepimpinan yang berani menegakkan keadilan dan mempertahankan mereka yang tertindas,” tambah beliau,” ujarnya menegaskan sudah tiba masanya dunia bertindak, bukan sekadar mengeluarkan kenyataan.
Konflik dan krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza terus meruncing di sebalik pelbagai usaha diplomatik, rundingan damai, dan deklarasi gencatan senjata yang dipelopori oleh kuasa-kuasa antarabangsa.
Sepanjang tempoh pertempuran, pelbagai badan hak asasi manusia dan agensi di bawah PBB kerap melaporkan pencabulan berterusan terhadap zon selamat, fasiliti kesihatan, serta pusat perlindungan pelarian seperti Kem Pelarian Nuseirat.
Isu pencabulan hak asasi manusia, terutamanya dakwaan penderaan fizikal dan keganasan seksual terhadap tahanan wanita serta orang awam Palestin di dalam penjara atau pusat tahanan tentera Israel, semakin mendapat perhatian kritikal.
Kebanyakan pihak mengkritik kelemahan mekanisme penguatkuasaan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang dilihat gagal mengekang tindakan ketenteraan rejim Israel.
Situasi semasa sekali gus mencetuskan desakan berterusan daripada pelbagai negara dan pertubuhan Islam agar tindakan punitif secara nyata diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab. – HARAKAHDAILY 22/7/2026











