
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan menuntut jawapan tuntas kerajaan berhubung masalah ketiadaan bekalan air yang serius di Kampung Suang Parai yang berlarutan hampir 15 hari.
Beliau membangkitkan perkara itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, semalam sambil menegaskan masalah tersebut perlu tindakan segera kerajaan.
Menurutnya, Kampung Suang Parai merupakan penempatan yang sah diduduki warganegara, namun penduduknya kini berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air yang sangat serius dan berpanjangan.
Katanya, isu tersebut tidak seharusnya dibiarkan berlarutan kerana bekalan air merupakan keperluan asas rakyat, justeru kerajaan perlu memastikan penyelesaian segera dan berkesan dilaksanakan.
“Saya ingin mendapat satu jawapan pasti daripada pihak kerajaan kerana kita sudah terlalu lama membiarkan isu seumpama ini, termasuk masalah pendatang asing tanpa izin,” ujarnya.
Beliau turut membangkitkan isu koloni setinggan yang semakin berleluasa di Karambunai, termasuk kawasan belakang Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan bersebelahan Kampung Suang Parai yang menurutnya perlu ditangani secara menyeluruh.
Selain itu, ujarnya masalah ketiadaan air turut berkait dengan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) yang terlalu tinggi, manakala kecurian elektrik dan kabel akhirnya menjejaskan penduduk tempatan di Kampung tersebut.
Dr. Aliakbar menegaskan kerajaan perlu memberikan penjelasan menyeluruh serta tindakan konkrit terhadap isu berkenaan supaya rakyat tempatan tidak terus menjadi mangsa kelemahan pengurusan dan masalah berlarutan.
Beliau turut mengingatkan kerajaan negeri supaya mengurus setiap ringgit wang rakyat secara amanah, termasuk menyelesaikan masalah parkir Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas.
Menurutnya, ukuran sebenar kebijaksanaan kerajaan ialah hikmah mengurus setiap ringgit yang diamanahkan rakyat, dengan memastikan perbelanjaan dibuat berdasarkan keperluan serta memberikan manfaat kepada rakyat.
Tambahnya, wang kerajaan bukan sekadar angka dalam penyata kewangan kerana setiap ringgit itu datang daripada keringat petani, nelayan, guru, penjawat awam dan peniaga mencari rezeki.
“Setiap sen yang dibelanjakan bukan sahaja akan dipersoalkan oleh rakyat, bahkan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri.
Katanya, perbekalan tambahan bukanlah lesen untuk kerajaan berbelanja tanpa batas, sebaliknya perlu dilaksanakan dengan penuh disiplin, ketelusan serta keutamaan yang jelas demi kepentingan rakyat.
Beliau juga membangkitkan masalah kekurangan tempat letak kenderaan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas sehingga orang awam terpaksa meletakkan kenderaan di bahu jalan.
Menurutnya, sebahagian pengguna hospital turut dikenakan saman dan kompaun ketika berdepan kesukaran mendapatkan tempat parkir yang selamat untuk pesakit serta keluarga mereka.
“Saya bukan menyalahkan pihak yang memberikan kompaun, tetapi sekurang-kurangnya perlu ada alternatif tempat meletakkan kenderaan dengan baik bagi mereka yang datang ke hospital ini,” tegasnya.
Beliau berkata, kerajaan perlu mencari penyelesaian praktikal bagi menyediakan kemudahan parkir yang sesuai supaya pesakit dan keluarga tidak terus terbeban ketika mendapatkan rawatan di hospital. – HARAKAHDAILY 21/7/2026











