
TAWAU: Suasana meriah Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Tawau kali ke-38 bertukar hening dengan para perwakilan sebak apabila diumumkan penerima Anugerah Jasamu Dikenang.
Anugerah tersebut bagi mengenang jasa dan pengorbanan mantan Yang Dipertua PAS kawasan, Almarhum Mohamad Husain, insan hebat yang banyak memberi sumbangan untuk PAS Sabah khususnya di Tawau yang telah meninggal pada 2 April lalu.
Anugerah telah disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Shukri Ramli kepada ahli keluarga almarhum dalam majlis perasmian yang berlangsung di Madrasah Darul Hidayah, Kampung Sungai Imam, di sini kelmarin.
Antara sumbangan terbesar almarhum ialah mengetuai usaha penubuhan PASTI Nurul Hanani, Jalan Kuhara, yang merupakan PASTI pertama di Sabah pada tahun 1986.
Pada tahun yang sama, almarhum turut menjadi Ahli Jawatankuasa Penaja Penubuhan PAS Kawasan Tawau dan menjadikan kediamannya di Taman Rich Park sebagai alamat rasmi pendaftaran PAS kawasan, sekali gus meletakkan asas yang kukuh kepada perkembangan perjuangan PAS di daerah ini.
Sepanjang perjuangannya, almarhum pernah memegang pelbagai amanah termasuk sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Setiausaha PAS negeri, Ahli Jawatankuasa PAS negeri dan Yang Dipertua PAS Kawasan Tawau.
Penyampaian anugerah itu menjadi simbol penghargaan terhadap jasa seorang pejuang yang telah meninggalkan legasi besar dalam bidang dakwah, pendidikan dan perjuangan Islam di Sabah.
Sementara itu dalam ucapan perasmian, Mohd Shukri, menyeru seluruh ahli PAS agar terus istiqamah dalam perjuangan dengan berpegang teguh kepada prinsip keikhlasan, ketaatan kepada kepimpinan dan kesabaran dalam membina kekuatan jamaah.
“Saya ingin mengingatkan bahawa perjuangan dalam PAS bukanlah medan untuk mengejar jawatan, kedudukan atau keuntungan dunia, sebaliknya medan untuk mencari bekalan pahala dan keredaan Allah,” ujarnya yang juga ADUN Sanglang, Perlis. – HARAKAHDAILY 21/7/2026











