Sampah Dataran Merdeka, siapa bertanggungjawab?

- Advertisement -

PERMATANG PAUH: Ahli Parlimen Permatang Pauh, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan menggesa kerajaan memberikan penjelasan berhubung isu kebersihan di Dataran Merdeka susulan program tayangan perlawanan akhir Piala Dunia yang menghimpunkan ribuan pengunjung.

Katanya, penjelasan Alam Flora bahawa kawasan berumput di Dataran Merdeka berada di luar skop tanggungjawab syarikat itu menimbulkan persoalan serius mengenai kelemahan penyelarasan antara DBKL, Alam Flora dan pihak penganjur.

- Advertisement -

Beliau juga mempersoalkan siapakah penganjur sebenar program berkenaan, apakah pelan pembersihan yang telah disediakan serta siapakah yang akan menanggung kos kerja-kerja pembersihan kawasan tersebut.

“Kerajaan tidak seharusnya berdiam diri dalam isu itu, sebaliknya perlu tampil memberikan penjelasan kepada rakyat mengenai tanggungjawab setiap pihak yang terlibat,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Muhammad Fawwaz berkata, sikap ketika ini amat berbeza dengan reaksi pantas dan keras Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan selepas Himpunan Turun Anwar (HTA) pada 26 Julai 2025.

Menurutnya, ketika itu peserta pembangkang terus dilabel sebagai ‘pengotor’ dan ‘memalukan negara’, selain didakwa meninggalkan sehingga 20 tan sampah, walaupun terdapat laporan media menunjukkan peserta himpunan bergotong-royong membersihkan Dataran Merdeka selepas program berakhir.

Beliau turut mengingatkan bahawa Menteri sendiri ketika itu menegaskan penganjur bertanggungjawab memastikan lokasi sesuatu perhimpunan sentiasa berada dalam keadaan bersih.

Sehubungan itu, Fawwaz menegaskan prinsip kebersihan tidak boleh berubah mengikut siapa yang menganjurkan sesuatu program.

“Sekiranya program pembangkang boleh dikecam secara terbuka, maka kerajaan juga mesti menunjukkan ketegasan yang sama apabila sampah ditinggalkan selepas program lain, lebih-lebih lagi sekiranya ia melibatkan penganjuran atau sokongan agensi kerajaan,” katanya.

Tambah beliau, rakyat berhak menuntut penjelasan dan bukannya berdepan sikap membisu serta amalan dua darjat dalam penguatkuasaan atau tindakan terhadap isu kebersihan.

“Janganlah isu kebersihan dijadikan senjata politik terhadap lawan, tetapi disenyapkan apabila kejadian yang sama berlaku dalam program yang tidak mengkritik kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2026

- Advertisement -