
SEREMBAN: Isu kenaikan kos barang dan peluang pekerjaan kepada golongan muda menjadi antara perkara paling mendesak yang perlu diberi perhatian di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.14 Ampangan.
Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) daripada PAS, Dato’ Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, masalah kos sara hidup bukan hanya berlaku di Ampangan, sebaliknya membabitkan rakyat di seluruh negara.
Beliau menjelaskan, usaha meningkatkan taraf hidup rakyat perlu dilakukan dengan mencari pendekatan yang mampu membantu mengurangkan beban harian mereka.
“Saya melihat permasalahan yang paling asas ialah dengan kenaikan kos barang-barang. Ini bukan masalah setempat, bukan masalah di Ampangan sahaja.
“Tetapi masalah (kenaikan kos barang-barang) yang merangkumi di mana-mana di dalam negara kita. Usaha perlu dibuat untuk bagaimana kita meningkatkan taraf hidup rakyat,” gesanya.
Mantan EXCO Kerajaan Negeri Sembilan itu berkata demikian ketika ditemui HarakahDaily di Surau Al-Fatihin, Taman Dusun Nyior, di sini, baru-baru ini.
Beliau mengimbas, ketika diberi amanah sebagai ADUN Ampangan sebelum ini, antara usaha yang dilaksanakan ialah membantu ratusan keluarga menanam sayur sendiri menggunakan kaedah hidroponik.
Menurut beliau, pendekatan itu dilaksanakan bagi membolehkan masyarakat menanam sayur seperti bayam, sawi dan kangkung dengan kos penyelenggaraan yang rendah.
“Dengan kos yang murah mereka sebenarnya boleh menanam sayuran seperti bayam, sawi, kangkung dan dengan kos penyelenggaraan elektrik yang juga cukup murah.
“Saya berkeyakinan jika ini dilakukan ia boleh mengurangkan kos seharian mereka,” jelas Doktor falsafah (PhD) bidang pendidikan Universiti Selangor (UniSel) itu.
Menurut calon nombor tiga itu, walaupun terdapat dasar-dasar negara yang berada di luar bidang kuasa beliau ketika itu, usaha tetap dilakukan mengikut kemampuan di peringkat kawasan.
“Dengan ruang yang kecil yang ada di rumah mereka, menanam sayur-sayuran dengan menggunakan sistem kaedah hidroponik, ini antara salah satu usaha yang kita buat,” ulasnya.
Peluang pekerjaan golongan muda
Dalam masa sama, Mohamad Rafie berkata, peluang pekerjaan kepada generasi muda selepas tamat persekolahan atau pengajian tinggi turut menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian.
Beliau menjelaskan, ketika memegang portfolio pelaburan dan perindustrian Negeri Sembilan, usaha membawa masuk pelaburan dilakukan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Ini saya usahakan untuk pekerjaan dapat diwujudkan dan memberi ruang kepada mereka untuk bekerja dengan nilai pendapatan yang lebih baik.
“Sebab itu selaku EXCO yang diberi amanah mengenai pelaburan dan perindustrian, kita telah berusaha untuk membawa banyak pelaburan ke Negeri Sembilan.
“Dan pada ketika itu kalau kita lihat sebelum era 2018, jumlah pelaburan yang masuk, hanya sekitar kurang daripada RM1 bilion.
“Tapi alhamdulillah dalam tempoh 5 tahun itu kita telah berjaya membawa pelaburan sehingga nilai lebih RM10 bilion satu tahun,” imbasnya lagi.
Mohamad Rafie menyatakan, usaha tersebut dilakukan secara terancang bagi memastikan pendapatan kerajaan negeri bertambah, selain membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.
Beliau turut mengimbas usaha membantu masyarakat Ampangan ketika pandemik COVID-19 apabila bantuan diberikan tanpa mengira latar belakang penerima.
“Setiap rumah yang ada di kawasan Ampangan kita bantu tanpa mengira apa dasar ataupun latar belakang parti politik mereka, tanpa mengira apa bangsa mereka, tanpa mengira apa agama mereka.
“Kita edarkan beras kepada mereka, ikan kepada mereka, ayam kepada mereka, sayur-sayuran kepada mereka,” jelasnya.
Menurut beliau, bantuan tersebut diberikan ketika ramai penduduk berdepan kesukaran untuk keluar rumah akibat situasi pandemik.
Beliau yakin lebih banyak usaha ekonomi dan kemasyarakatan dapat dilaksanakan sekiranya diberi peluang untuk kembali berkhidmat di DUN Ampangan.
“Saya yakin insya-Allah kalau jika diberi peluang lagi untuk bersama di dalam kawasan ini di DUN Ampangan, lebih besar lagi yang kita boleh buat dalam keadaan ekonomi yang sepatutnya jadi lebih baik.
“Ketika keadaan sukar pun kita telah berusaha dan alhamdulillah berjalan dengan baik. Saya yakin dalam keadaan yang lebih baik ketika ini, lebih banyak aktiviti-aktiviti ekonomi yang boleh kita laksanakan insya-Allah,” katanya.
Rakyat perlu nilai prestasi pentadbiran
Sementara itu, mengulas sebab rakyat perlu memberi kepercayaan kepada PN, Mohamad Rafie berkata, rakyat perlu menilai prestasi pentadbiran terdahulu dan semasa berdasarkan keadaan sebenar yang mereka lalui.
Beliau berpandangan, rakyat perlu melihat sama ada sesuatu pentadbiran benar-benar membantu kehidupan mereka atau sekadar menyampaikan kenyataan dan angka.
“Rakyat perlu menilai adakah kerajaan yang ini, kerajaan yang terdahulu (kerajaan dipimpin PKR) di Negeri Sembilan ini benar-benar membantu rakyat.
“Kita dengar mereka berhujah, kita dengar mereka melaungkan mereka berjaya meningkatkan ekonomi. Tapi hakikatnya adakah ia benar-benar berlaku?
“Ini yang setakat hanya laungan, setakat hanya cerita-cerita, setakat dengan angka-angka, tetapi realiti dalam kehidupan kita boleh menilai siapakah mereka yang sebenarnya,” bidasnya.
Mohamad Rafie yakin barisan kepimpinan PN mampu membawa pentadbiran lebih baik berdasarkan latar belakang pelbagai yang dimiliki.
Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang masih melaungkan agenda Reformasi walaupun telah diberi amanah mentadbir kerajaan.
“Mereka kita dah bagi lama dah masa kepada mereka. Tetapi yang kita dengar hanya setakat laungan mereka yang kita dengar dan mereka masih menyorakkan Reformasi.
“Jadi saya pun tak faham, mereka dah diberi amanah untuk mentadbir negara, Reformasi apa lagi? Amanah dah diberi. Sekarang tugasan untuk melaksanakan amanah yang diberi. Reformasi apa?
“Sebab itu kalau mereka dalam pembangkang, kita faham kalau mereka melaungkan Reformasi. Tapi ketika ini mereka mentadbir negeri, mereka mentadbir negara.
“Maka setiap kali mereka ada perhimpunan, mereka tak akan lepas daripada melaungkan Reformasi. Apa ini?
“Sebab itu kita melihat mereka ini memang tak selayaknya untuk memimpin kerana mereka kalau layak pun hanya setakat pembangkang.
“Kerana jiwa mereka masih kekal pembangkang walaupun mereka telah diberi amanah untuk memimpin negara. Akhirnya negara tidak bergerak ke arah mana, kerana mereka tidak mempunyai keupayaan,” tempelak beliau.
Beliau turut menempelak pihak berkenaan yang hanya lebih banyak mencari kesalahan berbanding menyelesaikan masalah rakyat.
Bagaimanapun, Mohamad Rafie menjelaskan, rakyat boleh menilai sendiri rekod perkhidmatan beliau ketika diberi amanah sebagai ADUN Ampangan dan EXCO Kerajaan Negeri Sembilan dari 2018 hingga 2023.
“Adakah kita hanya setakat bermain-main? Adakah kita setakat seronok-seronok sahaja? Tidak. Kita berusaha untuk membawa kemajuan kepada rakyat, kita berusaha untuk menyantuni rakyat, kita berusaha untuk menyelesaikan masalah rakyat. Itu terbukti,” tegasnya.
Beliau menegaskan rekod prestasi tersebut menjadi ukuran terhadap kemampuan beliau membawa perubahan kepada kawasan Ampangan.
“Sebab itu mereka tahu kalau dari segi rekod prestasi saya, mereka tidak boleh memperkecilkan.
“Saya telah banyak membawa perubahan-perubahan yang baik semasa saya diberi amanah selaku Ahli Dewan Undang Negeri di Ampangan dan juga selaku EXCO Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2026











