Tumbangkan PH, muafakat PN-BN untuk kestabilan

Kunci bentuk Kerajaan Negeri Sembilan yang baharu

- Advertisement -

REMBAU: Calon PN bagi DUN N.25 Paroi, Kamarul Ridzuan Md Zin menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan memperkukuhkan semangat muafakat dan bekerjasama bagi membentuk kerajaan baharu dari Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 ini.

Beliau berkata, keadaan politik di Negeri Sembilan ketika ini memerlukan kesepakatan semua pihak bagi mengembalikan kestabilan negeri serta membentuk sebuah kerajaan yang diyakini rakyat.

- Advertisement -

“Pertama untuk menjaga negeri, kedua membina keyakinan dan yang akhir sekali untuk membentuk kerajaan. Itulah fokus kita. Apa yang perlu kita buat pada hari ini, untuk menumbangkan PH (Pakatan Harapan), kita kena bekerja sama,” katanya.

Beliau yang merupakan penyandang kerusi itu berucap demikian pada Ceramah Umum Perdana PERIKATAN NASIONAL (PN) di Kampung Paroi, di sini kelmarin.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan PAS, Umno dan Barisan Nasional (BN) yang hadir serta menyatakan keyakinan bahawa kerjasama antara parti mampu membawa perubahan kepada pentadbiran negeri.

“Kita dapat bekerjasama. Mudah mudahan yang paling penting keberkatan dalam kehidupan. Kita ada tagline ‘Negeri Sembilan Kita Jaga’ dengan semangat beradat, muafakat dan berkat. Kita jagalah apa yang ada di negara dan negeri kita ini,” ujarnya.

Menurut beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, semangat muafakat menjadi kunci utama untuk merealisasikan perubahan di Negeri Sembilan.

Mengimbau tempoh perkhidmatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi sebelum DUN dibubarkan, beliau berkata rakyat kini lebih menilai prestasi dan hasil kerja berbanding retorik politik.

“Kita dah jadi wakil rakyat, orang muda tengok kerja kita, prestasi kita. Mereka tak tengok kita bercakap berapi api tetapi tak buat kerja. Itu yang paling penting,” katanya.

Kamarul Ridzuan turut menegaskan bahawa penyatuan umat Islam dan orang Melayu amat diperlukan ketika ini bagi memartabatkan Islam dan bangsa.

“Saya nak bagi mesej yang jelas, penyatuan orang Islam dan penyatuan Melayu diperlukan sekarang untuk memartabatkan Islam dan bangsa kita. Ia bermula di Paroi,” tegasnya.

Beliau optimis kemenangan PN di Negeri Sembilan mampu menjadi pemangkin kepada kejayaan gabungan itu di negeri negeri lain.

“Mudah mudahan selepas Negeri Sembilan, Melaka pula dan selepas itu kita ambil alih kerajaan, insya Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2026

- Advertisement -