
TUMPAT: Penerangan yang jelas perlu digiatkan kepada orang ramai bagi memahamkan mereka bentuk kerjasama politik baharu antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Setiausaha PAS Negeri Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, penerangan yang tersusun amat penting memandangkan kerjasama itu masih baharu dan tempoh berkempen agak singkat.
Menurutnya, kerjasama politik yang dibentuk merupakan satu tanggungjawab bersama bagi membina kekuatan kerajaan baharu serta mengembalikan kekuatan orang Melayu di Malaysia.
Katanya, kerjasama tersebut bukan berbentuk penggabungan parti, sebaliknya merupakan kesepakatan dalam menandingi kerusi pilihan raya antara parti-parti yang berteraskan Melayu.
“Prinsipnya ialah apabila PAS bertanding di sesuatu kerusi, Umno-BN tidak bertanding dan begitu juga sebaliknya. Di kerusi yang ditandingi Umno, maka PAS-PN tidak meletakkan calon.
“Kesepakatan ini telah dipersetujui dan sedang dilaksanakan, khususnya dalam PRN Negeri Sembilan sebagai kerjasama pertama yang diputuskan pimpinan parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Kuliah Haraki yang diadakan di Dewan Pusat Khidmat DUN Pengkalan Kubor, di sini malam kelmarin.
Beliau berkata, pendekatan sama berkemungkinan diperluaskan ke negeri-negeri lain bergantung kepada kejayaan pelaksanaannya serta maklum balas daripada pengundi dan pimpinan.
Menurutnya, strategi itu amat penting kerana rakyat perlu melihat bahawa kesatuan merupakan satu keperluan demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
“Sebelum ini kita sering berbeza pendapat dan bertelagah, namun kini atas kepentingan agama, bangsa dan negara, kita memilih untuk bersepakat.
“Saya menyeru semua pengundi dan penceramah supaya memberikan penerangan yang jelas mengenai bentuk kerjasama ini kerana mungkin masih ada pengundi yang belum memahaminya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap petugas dapat memastikan pengundi memberi sokongan sekitar 22 hingga 24 kerusi menjadi sasaran untuk dimenangi PN-BN bagi membolehkan gabungan itu membentuk Kerajaan Negeri Sembilan dengan majoriti dua pertiga.
Jelasnya, harapan pihak lawan untuk memperolehi sekitar 22 hingga 24 kerusi sewajarnya perlu dinafikan, sebaliknya digantikan denga kemenangan PN-BN.
Bagi menjayakan hasrat itu, Wan Roslan berkata, penerangan hendaklah dibuat secara tersusun, sistematik dan beradab supaya masyarakat benar-benar memahami hasrat serta matlamat kesepakatan yang dibina.
Beliau berkata, perpaduan dalam kalangan parti-parti Melayu penting bagi mengembalikan kegemilangan negara yang kini berdepan pelbagai cabaran dan kecelaruan.
“Jika kita terus bertelagah, kekuatan kita akan semakin lemah. Sebab itu saya menyeru para penceramah supaya menghuraikan perkara ini dengan sebaik-baiknya agar pengundi memahami tujuan dan kepentingan kerjasama yang dibentuk dalam pilihan raya kali ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor turut menegaskan, perjuangan PAS bukan sekadar tertumpu kepada politik semata-mata, sebaliknya merangkumi aspek dakwah.
Katanya, tempoh berkempen merupakan peluang terbaik untuk mendekati masyarakat dari rumah ke rumah dan ke kampung-kampung bagi memberikan penerangan serta menyampaikan mesej perjuangan kepada rakyat.
“Insya-Allah, melalui usaha ini masyarakat akan lebih memahami perjuangan yang dibawa dan kepentingan kesepakatan yang sedang dibina,” katanya.
Beliau bagaimanapun bersyukur, memandangkan kini PAS telah dapat diterima masyarakat Negeri Sembilan dan Johor apabila ada penduduk mengundang penceramah PAS ke rumah mereka untuk berceramah. – HARAKAHDAILY 22/7/2026











