Formula PN-BN di N9 wajar diperluas ke Selangor

- Advertisement -

SHAH ALAM: Pemuda PAS Selangor mahu formula kerjasama antara PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang sedang diterjemahkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 diperluaskan ke Selangor.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Dr Ustaz Aubidullah Fahim Ibrahim menyifatkan pendekatan itu mampu memperkukuh Penyatuan Ummah, mewujudkan kestabilan politik serta menawarkan alternatif yang lebih diyakini rakyat.

- Advertisement -

Beliau berkata, kerjasama yang sedang dibina di Negeri Sembilan memperlihatkan kematangan politik apabila Penyatuan Ummah dijadikan agenda utama, bukan sekadar persaingan untuk meraih kuasa.

“Cadangan ini juga memperlihatkan semakin ramai pihak menyedari bahawa landskap politik hari ini menuntut satu pendekatan yang lebih matang, inklusif dan berpaksikan kepentingan rakyat.

“Ketika rakyat berdepan pelbagai cabaran termasuk peningkatan kos sara hidup, tekanan ekonomi dan isu tadbir urus, keutamaan sewajarnya diberikan kepada usaha membina kestabilan politik.

“Serta memperkukuh kesatuan umat demi masa depan yang lebih baik,” katanya memuji persefahaman itu membuktikan kepentingan agama, bangsa dan negara mampu diutamakan mengatasi kepentingan parti.

Menurut beliau, PAS sejak sekian lama mengangkat prinsip ta’awun siyasi yang meletakkan kepentingan Islam, perpaduan ummah dan kesejahteraan negara mengatasi kepentingan partisan.

“Sebarang bentuk kerjasama yang mampu menyatukan kekuatan politik Melayu-Islam serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Institusi Raja-Raja Melayu dan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan wajar dinilai dengan penuh hikmah, kebijaksanaan dan jiwa yang besar,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Aubidullah berkata, Selangor memerlukan satu alternatif politik yang benar-benar kukuh, berwibawa dan diyakini rakyat bagi menghadapi cabaran semasa.

Jelasnga, penyatuan parti-parti yang mempunyai titik persamaan dalam membela rakyat, memperkukuh tadbir urus, memacu pembangunan negeri serta mempertahankan identiti dan kedaulatan negara mampu menawarkan harapan baharu kepada rakyat Selangor.

“Jika semangat kerjasama yang sedang dizahirkan di Negeri Sembilan dapat diterjemahkan di Selangor dengan penuh keikhlasan, saling menghormati dan berteraskan kepentingan bersama, ia berpotensi membuka lembaran baharu politik yang lebih stabil, harmoni dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Pemuda PAS Selangor akan terus menyokong setiap usaha yang membawa kepada Penyatuan Ummah serta memperkukuh kerjasama strategik demi kepentingan agama, bangsa dan negara, di samping menawarkan pilihan terbaik untuk masa depan Selangor dan Malaysia. – HARAKAHDAILY 22/7/2026

- Advertisement -