393 penagih bangkit bina kehidupan baharu

Hasil bantuan Darul Barakah

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pusat pemulihan dadah milik kerajaan negeri, Darul Barakah, berjaya membantu 393 individu yang terjebak dengan penagihan dadah mendapatkan rawatan dan membina kehidupan baharu sejak ditubuhkan pada Mei 2021.

Pegawai Pemulihan Darul Barakah, Khairol Anuar Ramlan berkata, seramai 393 pelatih telah mengikuti program pemulihan di pusat berkenaan dengan lebih 40 daripadanya kini menjadi alumni yang berjaya mengekalkan kepulihan.

- Advertisement -

Katanya, daripada jumlah itu, antara 25 hingga 30 alumni masih aktif mengikuti program dan aktiviti anjuran Darul Barakah sebagai sebahagian daripada usaha pemantauan berterusan.

“Darul Barakah mula beroperasi pada Mei 2021 dan sehingga hari ini seramai 393 individu pernah mengikuti program pemulihan di sini.

“Daripada jumlah itu, lebih 40 orang boleh dianggap berjaya kerana masih mengekalkan kepulihan dan ada yang berjaya membina kerjaya serta perniagaan sendiri selepas keluar dari pusat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra PEMADAM Negeri Terengganu di TER Kuala Ibai, di sini semalam.

Menurutnya, antara kejayaan membanggakan ialah seorang bekas pelatih yang keluar pada 2022 berjaya menubuhkan syarikat subkontraktor sendiri dan menggaji beberapa bekas pelatih lain.

“Kita melihat kejayaan seperti ini sebagai petunjuk bahawa proses pemulihan bukan sahaja berjaya mengubah individu terbabit, malah membolehkan mereka kembali menyumbang kepada masyarakat,” ujarnya.

Khairol Anuar berkata, Darul Barakah menggunakan pendekatan pemulihan yang menggabungkan modul konvensional dan psikospiritual berasaskan Islam bagi membantu pelatih meninggalkan ketagihan serta membentuk tingkah laku baharu.

Menurutnya, selain program pemulihan, pelatih turut didedahkan dengan latihan kemahiran termasuk pertanian, penternakan lembu, biri-biri dan ikan keli sebagai persediaan untuk berdikari selepas tamat tempoh rawatan.

“Antara projek yang menunjukkan perkembangan memberangsangkan ialah penternakan ikan keli yang kini semakin berkembang dan berpotensi menjadi sumber ekonomi kepada pelatih,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pengaruh rakan sebaya dikenal pasti sebagai faktor utama yang mendorong seseorang terjebak dengan penagihan dadah.

“Berdasarkan rekod pelatih yang mengikuti program di Darul Barakah, kira-kira 85 peratus daripada mereka terlibat dalam penagihan akibat pengaruh rakan.

“Sebab itu saya ingin menasihatkan golongan muda supaya memilih rakan yang baik dan tidak sesekali mencuba dadah,” katanya.

Beliau turut menggesa individu yang sedang berdepan masalah penagihan supaya tampil mendapatkan rawatan kerana ketagihan dadah adalah penyakit yang memerlukan bantuan dan sokongan untuk dipulihkan.

“Kepada anak-anak Negeri Terengganu yang sudah terlibat dalam penagihan jangan malu, jangan segan, dapatkan rawatan. Kerajaan negeri telahpun sediakan satu tempat, perkampungan Darul Barakah sebagai satu tempat pemulihan dadah maka kita gunakan peluang ini.

“Kerana penyakit penagihan, sebab saya sebut penyakit sebab penyakit adalah satu penyakit tidak dapat dirawat secara bersendirian. Mesti ada orang yang membantunya. Maka Darul Barakah sedia membantu anak-anak Terengganu,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2026

- Advertisement -