
MACHANG: Kerajaan Kelantan membelanjakan kira kira RM11.5 juta bagi menaik taraf sistem Loji Rawatan Air Merbau Chondong dalam usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran serta menambah baik kualiti bekalan air kepada pengguna.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan, Dato’ Dr Izani Husin berkata, projek berkenaan dilaksanakan selepas sistem sedia ada tidak lagi mampu menampung peningkatan pengeluaran air.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang, sebelum ini kapasiti sistem hanya mampu menampung kira kira 70 peratus daripada keperluan.
“Apabila kapasiti bekalan air ditingkatkan, kualiti air yang dibekalkan turut terjejas kerana sistem sedia ada tidak lagi mampu menampung peningkatan pengeluaran,” katanya sewaktu sidang media selepas mendengar taklimat di loji rawatan air Merbau Condong, di sini semalam.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kerja menaik taraf sistem dilaksanakan dengan kos kira kira RM11.5 juta bagi memastikan peningkatan kapasiti pengeluaran dapat diseimbangkan dengan kualiti air yang dibekalkan kepada pengguna.
“Hasil daripada penambahbaikan tersebut, kapasiti Loji Rawatan Air Merbau Chondong boleh meningkat daripada sekitar 45 juta liter sehari kepada sehingga 80 juta liter sehari.

“Bagaimanapun loji akan beroperasi pada kadar sekitar 70 juta liter sehari dan kapasiti itu digunakan untuk membekalkan air kepada pengguna di kawasan perkhidmatan,” ujarnya lagi.
Tambahnya, peningkatan kapasiti pengeluaran itu bukan sahaja membolehkan lebih banyak bekalan air disalurkan kepada pengguna, malah membantu menstabilkan sistem bekalan dan meningkatkan kualiti air.
“InsyaAllah usaha menaik taraf kemudahan bekalan air akan diteruskan bagi memastikan rakyat menerima bekalan air yang lebih stabil, berkualiti dan mencukupi,” katanya.
Turut hadir dalam sesi taklimat berkenaan, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Saizol Ismail dan Pengurus Besar AKSB, Azhar Hanafi. – HARAKAHDAILY 22/7/2026











