Ternakan kambing tenusu berpotensi jana pendapatan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Industri penternakan kambing tenusu berpotensi muncul sebagai antara sektor agromakanan bernilai tinggi di Kelantan, sekali gus mampu menjana pendapatan lebih mampan kepada penternak serta memperkukuh agenda sekuriti makanan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Mohd Saripuddin Tuan Ismail berkata, penternakan kambing tenusu kini mempunyai prospek yang semakin luas berikutan peningkatan permintaan terhadap susu kambing dan pelbagai produk hiliran.

- Advertisement -

“Perkembangan industri ini membuka peluang kepada penternak untuk mengembangkan perusahaan masing-masing melalui penghasilan produk bernilai tambah seperti yogurt, ais krim dan susu kambing berperisa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Majlis Penutup Bengkel Penternakan Kambing Tenusu di Pusat Pengumpulan Susu Kambing Kelantan GMCC Ketereh, di sini semalam.

Menurutnya, bengkel anjuran Kerajaan Kelantan yang diurusetiakan Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd merupakan antara usaha berterusan kerajaan bagi memperkasa sektor penternakan melalui penyebaran ilmu, kemahiran dan teknologi kepada penternak.

“Bengkel ini merupakan antara usaha berterusan kerajaan dalam memperkasa sektor penternakan melalui penyebaran ilmu, kemahiran dan teknologi kepada para penternak.

“Kita berharap pendedahan yang diberikan dapat meningkatkan pengetahuan peserta mengenai pengurusan penternakan kambing tenusu secara lebih sistematik sekali gus memperkukuh daya saing industri ini,” katanya lagi.

Tambahnya, pembangunan sektor penternakan perlu diperkasakan secara berterusan kerana mampu meningkatkan pengeluaran makanan tempatan, selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar melalui pewujudan peluang pendapatan baharu.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus menyokong pembangunan industri penternakan sebagai antara komponen penting dalam memperkukuh sekuriti makanan negeri di samping memacu pertumbuhan sektor agromakanan yang mampan.

“Ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang bengkel ini diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta bagi melahirkan lebih ramai penternak kambing tenusu yang berdaya saing serta berupaya memenuhi permintaan pasaran,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2026

- Advertisement -